14,306 kuota haji Malaysia tahun ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kuota haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi sebanyak 14,306 orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Katanya, jumlah itu adalah 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima sebelum ini iaitu 31,600 orang.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan pengumuman ini dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pengumuman kuota jemaah haji Malaysia 1443H-2022M yang disiarkan menerusi media sosial dan stesen televisyen tempatan, hari ini.

- Advertisement -

Ini, ujarnya adalah satu berita baik buat umat Islam di Malaysia yang telah menunggu selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

“Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah bersama-sama dari lubuk hati yang dalam, kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga atas berita gembira ini,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Arab Saudi tentunya telah membuat penilaian serta penelitian dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan para jemaah haji untuk melaksanakan rukun Islam kelima terjamin.

Beliau berkata, peratusan yang sama juga adalah terpakai buat semua negara lain.

“Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan seramai hanya satu juta jemaah bagi musim haji tahun ini atau 40 peratus daripada jumlah 2.5 juta pada tahun 2019,” ujarnya.

Ini, kata beliau sudah tentunya berikutan penilaian dan juga langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan kesemua jemaah haji dari seluruh dunia.

Tambahnya, pada masa yang sama, Kerajaan Arab Saudi juga telah menetapkan bahawa 85 peratus darpadai satu juta itu adalah merupakan jemaah luar.

Ini, kataya adalah lebih tinggi daripada tahun 2019 di mana jemaah dari luar Arab Saudi adalah hanya 75 peratus.

“Pada tahun ini, jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berumur bawah 65 tahun, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas,” katanya.

Beliau menjelaskan, Tabung Haji (TH) kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik Covid-19. “Saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Tabung Haji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia.

“Saya memohon jasa baik semua bakal Jemaah haji untuk membuat persedian sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan,” tambahnya.

Beliau berkata, TH akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat.

Justeru, ujar beliau bakal jemaah yang terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

“Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen-dokumen yang berkaitan terutamanya passport.

“Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan,” ujarnya.

Beliau menambah, TH akan membuat pengumuman dari masa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari Kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah.

“Dengan segala rahmat daripada Allah, sebagai pengumuman awal, bantuan pembayaran haji tetap akan diteruskan oleh pihak Tabung Haji bagi para bakal jemaah haji pada tahun ini.

“Jika tiada aral melintang, insya-Allah pihak pengurusan Tabung Haji akan mengumumkan ketetapan bayaran baharu para jemaah haji pada esok hari, Jumaat pada waktu yang akan diumumkan kelak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/4/2022

- Advertisement -