Pimpinan PAS Maran santuni ahli-ahli as-Sabiqun

- Advertisement -

MARAN: PAS Kawasan Maran telah mengadakan kunjungan bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada ahli as-Sabiqunnya bersempena cuti Nuzul Quran, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Kunjungan itu diadakan bertujuan mengenang jasa dan menghargai amilin PAS Maran yang telah lebih dahulu memulakan perjuangan mereka di sini, demikian kata Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.

“Orang-orang yang telah lama berjuang dan istiqamah bersama PAS ini, kita perlu ambil peluang menziarahi mereka, sebagai tanda ingatan kita atas pengorbanan mereka memulakan perjuangan lebih awal daripada kita.

“Sebahagian besar yang dikunjungi tadi telah berada dalam keadaan uzur dan berkerusi roda, namun semua nya merasa sangat gembira dan terharu dengan kunjungan kami.

“Kunjungan ini juga merupakan langkah mula usaha kami untuk kumpulkan golongan as-Sabiqun di kawasan Maran ini, selepas raya nanti kita akan gerak usaha yang lebih aktif lagi untuk menjejaki as-Sabiqun yang lain,” ujarnya lagi.

Kunjungan disertai sama Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Mujibur Rahman Ishak merangkap ADUN Chenor dan Naib Yang Dipertua, Sopian Jalil merangkap ADUN Luit itu sempat menziarahi seramai 13 ahli as-Sabiqun.

Antara dikunjungi ialah Abdul Karim Mohd Nor, 82, yang merupakan salah seorang daripada penaja penubuhan PAS Maran pada sekitar tahun 1980-an dan selepas itu telah menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Maran selama beberapa penggal.

“Saya terharu dengan kunjungan daripada PAS Maran dan termasuk yang hadir ialah dua orang ADUN PAS dalam Parlimen Maran ini, saya berharap sempat mengundi dalam PRU15 nanti, insya-Allah,” ujar beliau.

Bagi Samat Lebai Yusoff, 77, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Maran pula, beliau berasa sangat bangga dan berbesar hati menerima kunjungan tersebut.

“Program macam ini adalah salah satu cara penghargaan kepada orang lama. Saya bersama PAS sejak tahun 1964 lagi, zaman Dr Burhanudin jadi presiden, ketika tu saya masih mengaji (bersekolah) agama di Kubang Pasu, Kedah lagi, saya  sudah bergiat bersama Pemuda di sana,” ujar beliau.

Manakala itu bagi Hashim Ahmad, 78, pula, beliau juga turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan kunjungan yang diadakan tersebut.

Antara yang turut hadir bersama dalam kunjungan tersebut ialah Setiausaha PAS Maran, Mohd Nasir Mohd Taib dan Ketua Pemuda PAS Maran, Ustaz Abdul Latif Abdul Haliff. – HARAKAHDAILY 21/4/2022

- Advertisement -