Perlawanan berlaku biar secara ‘gentlemen’

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
PAS menghormati pendirian Umno sekiranya parti itu mahu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, perlawanan yang akan berlaku hendaklah secara gentlemen dengan bercakap tentang dasar parti dan tidak menyerang individu.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, PAS sentiasa terbuka sekiranya Umno mahu turut serta bersama dalam muafakat yang terjalin sebelum ini untuk kepentingan negara pada masa akan datang.

“PAS juga menyambut baik kenyataan Pengerusi Umno Kelantan Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub yang meminta Umno cawangan tidak menggunakan kempen dan ceramah yang mengguris hati pemimpin dan ahli PAS.

“Pendekatan itu wajar disambut baik kerana ia memberi kebaikan terhadap hubungan kedua-dua parti berkenaan.

“Nasihat itu bagus dan selama ini pun kita tidak kata apa-apa pun kepada Umno, sebaliknya ada pemimpin Umno sebut dalam PAS ada tiga jahanam,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno Mac lepas wakil Umno Kelantan Zawawi Othman mendakwa terdapat tiga jahanam dalam PAS iaitu Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -