AKSB buat persediaan awal peningkatan jumlah pengguna

- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membuat persediaan awal terhadap peningkatan penggunaan bekalan air terawat sepanjang cuti perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri.

AKSB memastikan kesemua Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi dengan kapasiti maksima dengan keseluruhan pengeluaran air lebih 500 juta liter sehari (JLH).

- Advertisement -

Manakala projek penggantian dan pemulihan telaga tiub dijangka siap sebelum menjelang Hari Raya. Projek itu akan menambah sebanyak 14 JLH akan meningkatkan pengeluaran air terawat kepada 533 JLH.

Kawasan yang terlibat dengan penambahan air terawat tersebut sebahagian jajahan Kota Bharu dan Bachok.

Selain itu sebanyak 443 tangki statik (TS) bersaiz 500 hingga 2000 gelen ditempatkan di kawasan yang menghadapi tekanan rendah dan sering mengalami gangguan bekalan air.

AKSB turut menyediakan sembilan lori tangki air milik AKSB dan tambahan 22 lori tangki air kontrak di seluruh jajahan untuk menghantar air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air.

“AKSB juga meminta kontraktor luar untuk siap sedia membantu melaksanakan sebarang kerja kecemasan yang kemungkinan berlaku di luar kemampuan kakitangan AKSB.

“AKSB akan menyediakan perbelanjaan awalan kepada setiap jajahan untuk kegunaan kerja-kerja kecemasan bagi memastikan pergerakan operasi berjalan lancar,” katanya pada kenyataan di sini.

Menurutnya juga pemantauan dan kawalan terhadap tangki-tangki imbangan akan dilakukan AKSB bagi memastikan keperluan air terawat sentiasa dapat dipenuhi.

AKSB melalui Unit Hal Ehwal Pengguna (PINTAS) akan menerima aduan daripada pengguna sepanjang tempoh perayaan.

PINTAS boleh dihubungi melalui talian 15777 atau Whatsapp 019-5755777 atau email ke [email protected] atau muat turun applikasi MyAKSB melalui Google Play Store dan App Store untuk mendapatkan maklumat.

“AKSB amat menghargai sekiranya semua pihak menggunakan air secara berhemah dan membuat laporan atau aduan sekiranya ada sebarang paip bocor atau pecah kepada AKSB,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -