Bakar al Quran di Sweden tidak cermin kebebasan suara

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Perbuatan pemimpin parti politik di Sweden membakar al Quran minggu lalu dianggap tidak mencerminkan kebebasan suara yang diamalkan.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata tindakan terbabit dianggap melampau yang sewajarnya tidak patut berlaku.

Menurutnya, Islam merupakan agama yang sangat mementingkan penganutnya untuk menghormati agama lain dan tidak mencampuri urusan kepercayaan lain.

- Advertisement -

“Ia perkara yang sepatutnya tidak berlaku. Kita sendiri pun tidak boleh, bukan setakat nak bakar kitab-kitab dia dan sebagainya, kita tak boleh hina sembahan mereka.

“Sepatutnya agama lain pun hormat. Jangan tiupkan perkara yang bersifat provokasi, kerana orang Islam juga ada sensitiviti dalam hal seperti ini kita agak sensitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan itu pada sidang media selepas Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Panji di sini malam tadi.

Program tersebut dirasmikan Tengku Temenggong, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Media baru-baru ini melaporkan kerajaan melalui Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan yang parti politik haluan kanan di Sweden yang anti Islam.

Bahkan Pemimpin yang berusia 40 tahun itu juga pernah mencetuskan api kemarahan umat Islam dengan perbuatan sama yang dilakukan di Malmo tiga tahun lalu. – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -