Menggapai malam Lailatul Qadar

- Advertisement -

MENUNTUT ilmu adalah satu amalan yang paling wajib dan mulia dilakukan. Dengan adanya ilmu, kita dapat membezakan di antara perintah Allah S.W.T dan larangan Allah S.W.T, dapat membezakan yang benar dan yang salah dan lain-lain lagi. Semoga Allah S.W.T sentiasa memberikan hidayah-Nya kepada kita semua.

- Advertisement -

Di awal menyambut Ramadan, kita sudah maklum dengan Hadis Nabi S.A.W: 

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ، فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ

“Dari Abu Hurairah R.A. menyatakan,“Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkahi, Allah telah mewajibkan padamu berpuasa di bulan itu. Dalam bulan itu dibukalah pintu-pintu langit, dan ditutuplah pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Siapa yang tidak memperoleh kebaikan di malam itu, maka ia tidak memperoleh kebaikan apa pun”.

(Hadis Shahih, Riwayat al-Nasa`i: 2079 dan Ahmad: 8631. dengan redaksi hadis dari al-Nasa’i)

Dan dikukuhkan lagi oleh firman Allah S.W.T dalam surah al-Qadar ayat 1 hingga 5:

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ١ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ٢ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ ٣ تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍۢ ٤ سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ ٥

“1. Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr.

2. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr (kemuliaan) itu?

3. Malam al-Qadr (kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan.

4. Turun malaikat-malaikat dan roh (malaikat Jibril) padanya (malam al-Qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Sejahteralah ia (malam itu) sehinggalah terbit fajar (subuh).”

Masya-Allah, malam yang penuh keberkatan. Apakah kita tidak ada cita-cita atau azam untuk mendapatkannya? Dan apakah kita tidak tertarik dengan tawaran Allah S.W.T ini? Iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Siapa yang terhalang dari mendapatkan malam ini, maka dia akan rugi.

Rasulullah S.A.W menggambarkan mengenai celaan terhadap kerakusan manusia mengejar dunia sehingga lupa akan akhiratnya:

إِنَّ اللهَ يَبْغَضُ كُلَّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ ، سَجَّابٍ فِى اْلاَسْوَاقِ ،جِيْفَةٍ بِاالَّيْلِ ، حَمَّارْ بِا لنَّهَارِ ، عَالِمٍ بِأَمْرِا لدُّنْيَا جَاهِلٍ بِأَمْرِ اْلاٰخِرَةِ

“Sesungguhnya Allah membenci setiap kata-kata kasar lagi sombong, banyak berteriak di pasar, bagai bangkai di waktu malam dan seperti himar di waktu siang. Pandai dengan urusan dunia dan bodoh dengan urusan akhirat.”

(Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Shahih-nya (1957 – Mawarid): “Telah mengabarkan kepadaku Ahmad bin Muhammad bin Al-Hasan: Telah bercerita kepadaku Ahmad bin Yusuf As-Silmi: Telah bercerita kepadaku Abdurrazaq: Telah bercerita kepadaku Abdullah bin Sa’id bin Abi Hindun dari ayahnya dari Abu Hurairah, ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah S.A.W: (kemudian Abu Hurairah menyebutkan hadis itu).”)

Kita perlu berubah dari hari-hari semalam yang penuh dosa dan kesilapan lagi sia-sia dan bangkit berusaha meraih malam Lailatul Qadar. 

Apa yang perlu kita buat?

Niat – dari niatlah akan lahir kesungguhan dan membakar hati untuk bangkit bersungguh-sungguh untuk menggapainya. Bertaubatlah dan bersihkan hati dari dosa dan jangan jadikan dosa-dosa penghalang untuk kita melihat kehebatan Lailatul Qadar ini, seperti sabda Rasulullah S.A.W:

عن أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال إن العبد إذا أخطأ خطيئة نكتت في قلبه نكتة سوداء فإذا هو نزع واستغفر وتاب سقل قلبه وإن عاد زيد فيها حتى تعلو قلبه وهو الران الذي ذكر الله كلا بل ران على قلوبهم ما كانوا يكسبون

“Dari Abu Hurairah R.A, dari Rasulullah S.A.W, beliau bersabda : “Sesungguhnya seorang hamba, ketika berbuat dosa, ada titik hitam di hatinya. Ketika dia meninggalkan dosanya, memohon ampun, dan bertaubat, hatinya kembali bersih. Dan jika dia kembali (berbuat dosa), titik hitam terus bertambah di hatinya sampai menggunung, dan itulah yang menyelubungi hati (dari cahaya) seperti yang Allah firmankan, “Sama sekali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.””

(Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab Sunan-nya)

Dosa-dosanya akan menghalang dia dari melakukan ibadah dan ketaatan. Rasulullah S.A.W sentiasa memperbanyakkan beristighfar terutamanya di waktu sahur. Kalau kita sudah bertaubat, membersihkan hati dari dosa dan istighfar, maka mohonlah kepada Allah S.W.T dianugerahkan malam Lailatul Qadar.

Bila akan berlakunya malam Lailatul Qadar?

Dalam isu ini, terdapat banyak Hadis dan juga pendapat dalam menentukan malam al-Qadar. Walaupun begitu, Rasulullah S.A.W memberi beberapa isyarat kepada kita berkaitan malam al-Qadar ini. Antaranya, Baginda S.A.W menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil dalam bulan Ramadan. 

Berdasarkan sebuah Hadis, daripada Jabir bin Samurah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا

“Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.”

(Riwayat Ahmad, no. Hadis 85)

Ada juga pandangan mengatakan pada malam 21 Ramadan. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie R.A dengan berdalilkan pada Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi. Hadis tersebut daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ

“Tuntutlah (Carilah) kamu pada malam ke-17, 21 dan 23 dalam bulan Ramadan.” 

(Riwayat Abu Daud, no. Hadis 1176) 

Amalan-amalan yang dilakukan untuk menghidupkan malam-malam Lailatul Qadar, antaranya: 

a. Solat malam.

Mendirikan solat tarawih dengan Iman dan mengharap pahala daripada Allah S.W.T. Ditambah lagi dengan bacaan al-Qurannya dan di tingkatkan kualiti solatnya.

Lihat Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”

(Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760))

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Yang dimaksudkan dengan berpuasa atas dasar iman ialah berpuasa dengan beri’tiqad akan kefardhuan berpuasa. Manakala yang dimaksudkan dengan ‘ihtisab‘ ialah berpuasa dengan mengharapkan balasan yang baik daripada Allah S.W.T.

Saidatina Aisyah R.A menceritakan perubahan-perubahan yang berlaku ke atas diri Rasulullah S.A.W sebelum, semasa Ramadan dan 10 hari terakhir Ramadan. 

Umm al-Mukminin Aisyah R.A meriwayatkan perlakuan Nabi S.A.W bila saat datangnya 10 malam terakhir Ramadan. Beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

“Nabi S.A.W apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).”

(Riwayat al-Bukhari (2024))

Di dalam riwayat lain menyebut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَجْتَهِدُ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِى غَيْرِهِ

“Rasulullah S.A.W bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir tidak seperti bulan-bulan yang lain.”

(Riwayat Muslim (2845))

b. Memperbanyakkan doa.

Rasulullah S.A.W, menganjurkan kita untuk mempersiapkan diri dengan kedatangan malam Lailatul Qadar. Apa bacaan doa yang dianjurkan Rasulullah saat malam Lailatul Qadar?

Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Aisyah R.A bertanya kepada Rasulullah S.A.W mengenai bacaan doa yang seeloknya dibacakan di saat bertemu dengan malam Lailatul Qadar: 

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَىُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِى اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

“Wahai Rasulullah, bagaimana bila aku mengetahui malam Lailatu Qadar, apa yang harus aku ucapkan?”

Beliau (Rasulullah S.A.W) menjawab, “Ucapkanlah:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Bacaan latin: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwan fa’fu ‘anni

Artinya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, dan Engkau menyukai maaf, maka maafkan aku.”

Inilah doa khusus yang harus kita baca. Tanpa keampunan Allah hidup kita akan rugi di akhirat kelak dan terjauh dari syurga Allah S.W.T.

c. Amal soleh.

Kita semua maklum bahawa, kemuliaan dan keagungan malam Lailatul qadar sehingga melebihi daripada 1,000 bulan. Setiap amalan yang kita lakukan akan diberi pahala 1,000 kali ganda.

Justeru, hendaklah kita melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian dan rasa malas. Isikanlah malam tersebut dengan qiyamullail, memperbanyakkan bacaan al-Quran, basahi lisan dengan memperbanyakkan zikrullah (mengingati Allah), berselawat buat Nabi S.A.W, memperbaiki kualiti solat (Solat berjemaah di masjid), bersedekah, memberi makan orang berbuka, memohon maaf (kalau ada berbuat salah dengan keluarga atau sahabat-sahabat, mohon maaf kepada mereka sebelum malam lailatul Qadar), munajat dan doa, terutamanya doa mengharapkan keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.

Cara Salaf as-Soleh beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan

Imam Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata:

أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك

“Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.”

(Lihat Lathaif al-Maarif (halaman 160))

Paling kurang pastikan solat fardhu kita dilakukan secara berjemaah.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan. Sebahagian ulamak mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa:

يصلي العشاء في جماعة و يعزم على أن يصلي الصبح في جماعة و قال مالك في الموطأ بلغني أن ابن المسيب قال : من شهد ليلة القدر ـ يعني في جماعة فقد أخذ بحظه منها و كذا قال الشافعي في القديم : من شهد العشاء و الصبح ليلة القدر فقد أخذ بحظه منها

“Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isyak secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua.”

Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. 

Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie Rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.

(Lihat Lathaif al-Maarif (halaman 159))

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah S.A.W dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa Sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan. 

Demikian pula beberapa riwayat daripada Sahabat seperti Anas bin Malik dan ulamak pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan. 

Setelah mempersiapkan diri, kemudian mereka mendirikan solat dan mengharapkan agar mereka mendapat malam Lailatul Qadar, bukan setakat untuk diri mereka sahaja tetapi keluarga mereka juga turut bersama menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan. 

d. Iktikaf.

Berdiam di masjid di 10 hari terakhir Ramadan. Kuarantin diri di masjid untuk menjadi juara di sisi Allah S.W.T.

Nabi S.A.W, tidak beriktikaf melainkan hanya di dalam masjid. Adalah sah untuk beriktikaf di dalam setiap masjid. Manakala masjid jamek yang didirikan padanya solat Jumaat itu adalah lebih utama dan afdhal. Ini kerana Rasulullah S.A.W beriktikaf di dalam masjid jamek.

Perlu dijelaskan di sini bahawa pengistilahan surau di negara kita yang mana tidak dilakukan padanya solat Jumaat akan tetapi didirikan solat berjamaah selama lima waktu maka hukumnya adalah hukum masjid. Boleh untuk kita beriktikaf di dalamnya.

Rasulullah S.A.W juga menyampaikan dalam sebuah Hadis mengenai I’tikaf di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan:

مَنِ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَعْتَكِفَ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ

“Siapa yang ingin beri’tikaf bersamaku, maka beri’tikaflah pada sepuluh malam terakhir,” 

(Hadis Riwayat Ibnu Hibban) 

Penutup

Tiada nikmat yang lebih besar yang diharapkan oleh seseorang yang beriman, selain daripada nikmat keampunan Allah S.W.T dan nikmat berjaya meraih ganjaran syurga yang dijanjikan-Nya di akhirat kelak. 

Oleh itu marilah kita berusaha pada 10 malam yang terakhir ini untuk beribadah dan melakukan amalan soleh sebanyak-banyaknya dengan bersungguh-sungguh dengan niat kerana Allah S.W.T.

Wallahu’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -