Syuhud Qalbu: Lagu kerohanian sulung Zarul Umbrella sempena Ramadan

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

Sempena bulan Ramadan kali ini, penyanyi dan pelakon popular Zarul Umbrella buat pertama kalinya muncul dengan lagu kerohanian berjudul, Syuhud Qalbu duet bersama bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Fitri Haris.

Menurut Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 49, sejak kembali aktif dalam bidang nyanyian, dia sudah lama menyimpan impian untuk menghasilkan sebuah lagu kerohanian sempena bulan suci Ramadan.

Rezekinya hadir tanpa disangka-sangka apabila Fitri Haris mempelawanya untuk membikin sebuah lagu bersama sekitar sebulan sebelum kehadiran bulan mulia itu.

- Advertisement -

“Sebenarnya, saya telah lama teringin menghasilkan sebuah lagu kerohanian sempena Ramadan. Ramai penyanyi lain mengeluarkan lagu raya, jadi saya mahu sesuatu yang berbeza.

“Setiap hari saya berdoa kepada Allah agar diberi rezeki yang tidak disangka-sangka dan Allah maha mendengar doa hambanya. Akhirnya saya dihubungi oleh Fitri yang mengajak saya untuk berduet dalam sebuah lagu dengannya,” kongsi Zarul.

Bercerita lanjut tentang lagu ciptaan composer, Azmeer itu lagi jelas Zarul, Syuhud Qalbu bermaksud pandangan hati, mengesakan pandangan Allah.

“Lagu Syuhud Qalbu sangat sedap, kalau menghayatinya mampu membuatkan orang menangis. Jika ada peluang saya mengeluarkan single kerohanian setiap tahun.

“Namun, jika ada rezeki tidak perlu tunggu bulan Ramadan. Apa kata setiap kali keluarkan single saya tukar lagu-lagu cinta kepada cinta kepada Allah. Sebab cinta itu bersifat universal dan boleh diterjemahkan mengikut interpretasi masing-masing,” ujar Zarul. 

Zarul sudah lama teringin muncul sebuah lagu kerohanian sempena Ramadan.

Dalam perkembangan lain, Zarul turut dilantik sebagai felo Pusat Latihan Teknikal MEATECH (MEATECH) pada majlis pelancaran program-program diploma dalam industri penerbangan sempena kempen kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangansalahpilihbidang, YEG Academy di Johor Bahru baru-baru ini.

Menerusi kempen tersebut YEG Academy yang telah berkerjasama dengan MEATECH sejak 2018 menawarkan pelbagai diploma dalam bidang penerbangan.

Antaranya, adalah Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan, Diploma Pengurusan Penerbangan Kargo, Pra Diploma Operasi Penyelenggaraan Pesawat dan Sijil Kemahiran Operasi Penyelenggaraan Pesawat.

“Saya dilantik sebagao felo MEATECH selama setahun berdasarkan pengalaman selama 16 tahun sebagai pramugara Malaysia Airlines.

“Tugas saya adalah berkongsi pengalaman dan mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar industri penerbangan. 

“Industri penerbangan bukan sekadar juruterbang, pramugara, pramugari dan pekerja barisan hadapan di lapangan terbang, sebaliknya sangat luas termasuklah industri kargo dan karier dalam perkhidmatan pengendalian darat yang bukan hanya ada di Malaysia, tetapi seluruh dunia,” jelas Zarul.

Ditanya tentang masa depan para pelajar dalam dunia penerbangan, Zarul yakin peluang buat mereka untuk membina kerjaya begitu cerah.

“Semasa pandemik melanda dan seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai daripada pekerja penerbangan yang dibuang kerja dan ada yang bekerja tanpa gaji. 

“Sepanjang dua tahun ini kebanyakan bekas pekerja penerbangan sudah bekerja dalam bidang yang lain termasuk ada yang memulakan perniagaan sendiri. Jadi, apabila industri penerbangan pulih dan mereka dipanggil bekerja semula, bukan semua akan kembali bekerja.

“Jadi, banyak ruang-ruang kosong yang boleh diisi oleh pelajar-pelajar baharu ini. Satu kelebihan buat pelajar baharu ini, kerana mereka telah dilatih secara profesional oleh pensyarah yang sebelum itu memang bekerja dalam industri penerbangan,” tutur Zarul.

Zarul, (di samping Azizulhakim), telah diberi kepercayaan oleh YEG Academy yang melantiknya sebagai felo MEATECH.

Sementara menurut pengasas YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi, biarpun industri penerbangan hampir lumpuh selama hampir dua tahun kerana pandemik Covid-19, kini senarionya berbeza apabila pintu sempadan kembali dibuka dan rutin penerbangan sudah kembali seperti biasa.

Peluang kerjaya terbuka luas buat pelajar-pelajar baharu apabila pihak IATA (The International Air Transport Association) telah mengeluarkan statistik bahawa industri penerbangan tempatan memerlukan 450,000 tenaga kerja.  

Selain itu, industri penerbangan tempatan juga menyumbang 3.5 peratus peratus Keluaran Dalan Negeri Kasar (KDNK) negara. 

“Ketika kami bermula, memang tidak dikenali, tetapi hari ini kami antara kolej yang mengeluarkan pelajar paling ramai yang bekerja dalam syarikat penerbangan. 

“Kami berbeza dengan kolej lain kerana setiap kursus yang ditawarkan dipilih secara teliti supaya apabila pelajar menamatkan pengajian,

permintaan tenaga kerja dalam bidang yang dipelajari mereka masih tinggi,” kata Azizulhakim. – HARAKAHDAILY 18/4/2021

- Advertisement -