Pembangunan komuniti, material perlu seiring

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kerajaan akan memastikan pembangunan yang akan dilaksanakan di negara ini lebih mesra alam bagi mengelak berlaku kesan terhadap kualiti alam sekitar.

Oleh itu Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembangunan komuniti ke arah kelestarian perlu seiring dengan pembangunan material.

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku sekarang kemajuan yang dicapai seiringan pula dengan kemerosotan beberapa bidang lain.

- Advertisement -

“Jadi kita pilih masjid sebagai model Rumah Ibadat Hijau menerusi Program Komuniti Lestari,” katanya ketika merasmikan Program Komuniti Lestari di Masjid Ar-Rahman, Pulai Gajah, Pengkalan Chepa semalam.

Menurutnya juga Program Komuniti Lestari (PKL) mampu menjadi alternatif kepada pembangunan komuniti ke arah kelestarian yang bersifat jangka panjang.

Kata beliau PKL akan menjadi platform bagi ilmuan dan penyelidik untuk mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang dimiliki untuk berbakti kepada komuniti.

“PKL mampu membantu komuniti bebas dengan meningkatkan kualiti kehidupan secara amali, holistik, sistematik dan lestari.

“Kerajaan negeri juga menitik beratkan aspek kebersihan termasuk memperkenalkan program kitar semula sebagai usaha memupuk sikap masyarakat suka kepada kebersihan,” ujarnya.

Menurutnya sekarang terdapat banyak aktiviti kitar semula yang dijalankan agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Antaranya kempen tukar minyak masak terpakai kepada pitih atau barang keperluaan anjuran Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM).

Katanya program itu mampu melahirkan usahawan hijau yang menghasilkan produk-produk hiliran daripada hasil sisa buangan. – HARAKAHDAILY 18/4/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!