Menyedia perjalanan selamat untuk 2 juta kenderaan

Dijangka pulang ke Kelantan menjelang Aidil Fitri

- Advertisement -

APA jaminan mereka selamat? Apa usaha Kerajaan bagi memastikan mereka selamat? Apa ikhtiar perantau yang balik beraya ini supaya selamat?

‘Selamat sampai ke kampung’ itu sudah pasti perkara di bawah ilmu Allah S.W.T. Kita makhluk hanya mampu berdoa, tawakal serta usaha. Tulisan kali ini kita mahu bicara aspek ‘usaha’. 

- Advertisement -

Pada 5 April baru-baru ini, pihak PDRM menjangkakan lebih 2 juta kenderaan akan memasuki Kelantan pada sambutan Aidil Fitri tahun 2022. Ketua Polis Negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, secara purata kenderaan keluar masuk ke negeri ini sekitar 300,000 hingga 350,000 sehari.

Tahun ini cuti raya adalah cuti panjang. Maka bermula 28 dan 29 April mereka sudah pasti mulai pulang ke Kelantan. Bersesak-sesak pulang dengan semangat mahu beraya bersama ayah bonda setelah dua tahun PKP dan tersekat dek arahan kerajaan. 

Keadaan jalan yang tidak selamat

Perkara asas dalam perjalanan pulang (yang selamat) seperti tidak memandu laju, tidak cuai melulu, berhenti rehat jika letih atau mengantuk, merancang masa dan laluan perjalanan serta beberapa perkara lain adalah hal yang kita mampu kawal dan atur. 

Namun perkara yang di luar kawalan seperti faktor cuaca, keadaan jalan yang teruk, haiwan merayau di atas jalan dan beberapa lagi harus diberikan perhatian. Cuaca buruk, memang tidak dapat dikawal, tidak boleh buat apa. 

Haiwan merayau, perlu diberi perhatian oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan veterinar. Antara yang menarik adalah Majlis Daerah Kuala Krai yang semenjak beberapa bulan lalu aktif menangkap haiwan-haiwan yang merayau di dalam kawasan operasi PBT, taman-taman dan juga di sepanjang jalan raya daerah mereka. 

Biarpun mendapat kritikan sebahagian kecil rakyat, namun ia bermanfaat dalam mengekang kemalangan khasnya. Para penternak dan pemilik lembu, kambing serta kerbau juga perlu lebih bertanggungjawab menjaga ternakan masing-masing. Jangan lagi berulang kes kes orang mati kerana lembu kita merayau ‘kokse kokdan‘ (merata tempat). 

Isu jalan rosak, tidak rata, berlubang (ada yang dalam lubangnya), tidak diturap dengan baik, seliaan yang tidak berjadual, jalan ‘tinggi rendah’ dan ‘bumping‘ seperti menaiki kuda. Garisan putih yang pudar atau jalan baru diturap semula dengan tar masih hitam pekat tetapi belum dicat kembali garisan. Semak samun yang tinggi di simpang-simpang jalan yang menghalang penglihatan semasa mahu keluar ‘cabang’ dan beberapa perkara lain adalah membimbangkan.

Semua yang saya tulis di atas adalah isu ‘keadaan jalan’ serta ‘selenggara jalan’ yang semuanya menatijahkan kepada keselamatan perjalanan anak rantau negeri kami. 

Negara kurang pitis

Ya kita semua faham bahawa bajet negara tidak banyak. Dalam RMK-12 sendiri yang dibentang kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan dimaklumkan mengenai isu lama penyelenggaraan jalan-jalan federal. Sama ada implimentasi kaedah pembaikian ataupun pencegahan daripada rosak, tetap kekal menjadi hambatan sejak sekian lama oleh Kementerian Kerja Raya kerana kerajaan kekurangan dana. 

Ketidakmampuan kerajaan dalam mengurus selenggaraan jalan secara sempurna ini serta pembaikian mana-mana bahagian jalan yang rosak, akan menyebabkan kemerosotan kualiti jalan, memendekkan hayat kegunaan jalan. Justeru meningkatkan kos selenggara jangka masa panjang. 

Sebagai rekod, disebut dalam RMK-11 bahawa peruntukan Pusat untuk selenggara jalan hanyalah sekitar 25 peratus sahaja, sedangkan sejak 2018 Parlimen pernah dilaporkan keperluan sebenar untuk menyelenggara semua jalan Persekutuan termasuklah di Kelantan mencecah nilai RM2 bilion. Malangnya kementerian berkaitan hanya menerima RM600 hingga RM800 juta setahun. Sedih bukan?

Apa pun, diharapkan ada penyelesaian tuntas berkait bajet ini pada masa hadapan. Biar jalan kita diselenggara dengan baik. Biar jalan itu selamat. Biar anak rantau kami selamat pulang ke Kelantan bukan untuk Hari Raya 2022 sahaja, tetapi untuk apa jua perjalanan, insya-Allah. Sama-sama doakan.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 17/4/2022

- Advertisement -