Bila pendakwah suka berjidal

- Advertisement -

MANA datang pula lagu raya ini? Takkan Qatar pun siar lagu raya Melayu. Ooo dah sampai KLIA rupanya. Alhamdulillah. Dapat balik raya. Dah lama tak balik raya. Dengan COVID-19 yang sudah berakhir, insya-Allah, akan memberikan keadaan yang lebih baik kepada semua.

Perjalanan semalam dari Hamad International Airport (HIA), Doha, seperti biasa. Cumanya ada sedikit kisah yang aku rasa nak berkongsi dengan semua. Kisah bertemu dengan sekumpulan warga Malaysia yang juga dalam perjalanan pulang ke Malaysia, menaiki pesawat yang sama.

- Advertisement -

Kumpulan dakwah ini, aku temui di surau HIA selepas berbuka. Kedengarannya mereka bercakap sesama mereka sambil berbuka puasa. Selesai jamak takdim dan qasar, aku terus kerjakan solat tarawih sebab masa masih ada kira-kira sejam sebelum ‘boarding‘ dan juga waktu ‘boarding‘ itu juga akan masuk waktu Isyak. Nanti taklah terkejar-kejar.

Selesai aku solat tarawih, aku melintasi kumpulan mereka, memberi salam dan bertanya dari mana, nak ke mana. Dari Brazil, nak balik Malaysia jawab mereka. Setelah bertukar beberapa khabar dan soalan, ada yang aku lihat ada seorang yang dikira paling tua di antara mereka, bertanyakan aku, nampak banyak kali solat tadi, solat apa itu?

Aku jawab aku dah selesaikan tarawih aku, senang nanti tak kalut. Dia mungkin sudah menyangka aku solat apa, lalu dia terus menegur, solat tarawih, tidak boleh dilaksanakan sebelum waktu isyak. Aku senyum dan membalas, bukan sebelum waktu isyak, tapi sebelum solat isyak. Bermakna kalau kita sudah selesai jamak takdim, kita sudah boleh melaksanakan tarawih, walau masih dalam Maghrib, kerana sudah selesai jamak solat Isyak.

Dia membantah, dia kata, bukan, kena tunggu selepas Isyak. Aku senyum dan aku jawab ada pandangan ulamak kata boleh. Kelihatan dia masih tidak berpuas hati dan cuba memanjangkan persoalan. Aku segera memotong, takkanlah kita jumpa jauh-jauh gini nak berkelahi pasal isu ini kan? Lalu dia diam. Aku beri salam dan pergi.

Aku rasa amat tidak patut jika taraf orang yang dianggap boleh berdakwah kepada orang, tetapi masih gagal menghadam isu-isu sebegini. Yang pertama, kita sudah tahu kita akan selalu bermusafir, masakan isu seperti jamak dan qasar masih mahu diperdebatkan seperti contoh, bila sampai ke tempat kita tuju dengan niat lebih tiga hari, boleh solat jamak qasar lagi ke tak? Mana dahulu nak solat, Isyak atau Maghrib kalau jamak takhir. Sewajibnya ia sudah selesai. Lainlah kalau kita bukan kaki jalan.

Sekarang ini sangat mudah mencari ilmu, iaitu ilmu untuk kefahaman apabila menghadapi masalah (bukan untuk berdebat). Teknologi sangat membantu. Ulamak-ulamak juga menggunakan platform ini dengan baik, memberi penjelasan. Tidak perlu terus mengambil apa yang orang kata, tetapi kita boleh buat ‘cross check‘ dengan pantas, menggunakan internet. Hanya pastikan sumbernya adalah orang yang dikenali terpercaya dalam bidang itu.

Keduanya, perbalahan hal furuk sebegini, amat merugikan umat Islam. Kita sudah maklum isu-isu sebegini, adalah bergerak dari naluri manusia sendiri. Manusia adalah sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya, sila rujuk surah al-Kahfi ayat 54. Lihat juga larangan ketika haji dan umrah, dilarang ber’jidal’ dalam al-Baqarah ayat 197 dan juga surah al-Anfal ayat 63 yang hati manusia tidak akan bersatu, walau diinfakkan seluruh harta di dunia ini.

Dengan menggunakan isu ini, maka musuh mencari titik untuk kita berbalah. Disebabkan tidak boleh menerima pandangan ulamak lain, kita cuba memonopolikan urusan fiqh, bahawa, kita sahaja yang betul, kita sahaja yang sunnah, kita sahaja yang tidak bidaah. Sekali lagi, amat malang, ia terlalu banyak terjadi di kalangan pendakwah. Dan pengikut mereka yang maha jahil itu pula menjadi tukang kompang, menambahkan lagi perbalahan, menabur garam di atas luka, melebarkan lagi permusuhan. Apa untungnya kita?

MOHD NASIR ABDULLAH

*Sumber hukum: Irsyad Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan. Rujukan sama juga boleh didapati daripada video ceramah beberapa orang ulamak lain seperti Ustaz Azhar Idrus. – HARAKAHDAILY 17/4/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -