Komitmen Kelantan untuk jalan raya

- Advertisement -

JUMLAH kereta akan bertambah dalam dua minggu lagi di negeri kami. Bermula di Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh dan satu dua lagi pintu masuk Kelantan, jalan-jalan utama akan menerima gelekan tayar tujuh kali ganda daripada kadar biasa.

Kadar harian keluar masuk Kelantan dalam Ramadan ini adalah sekitar 300,000 hingga 400,000 kenderaan dan menjelang hari raya nanti ia akan meningkat menjadi dua juta. 

- Advertisement -

Manakala jalan-jalan kampung juga di segenap ceruk daerah dalam negeri pasti akan dilalui oleh kenderaan anak-anak rantau, dengan banyaknya.

Persoalannya di sini, tahankah jalan-jalan kampung tersebut? Sudah pasti ia perlu disiapkan dan diselenggara sentiasa. Dalam hal ini kredit besar harus diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana sentiasa cakna dengan jalan-jalan desa.

Sewaktu Tun Mahathir memberikan dana sebanyak RM400 juta dahulu, Kerajaan Kelantan terus mengumumkan penggunaan RM52.5 juta daripada bantuan yang disalurkan tersebut untuk dimanfaatkan. Iaitu bagi pembinaan dan baik pulih rumah Dhuafa (miskin), membaiki dan selia jalan kampung serta pemulihan bekalan air bersih.

YAB Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM100,000 di setiap DUN untuk membaiki dan menyelia jalan kampung yang mana jumlah keseluruhan membawa nilai RM4.5 juta. Itu komitmen kerajaan negeri. Cuma isu lain yang lebih utama adalah kerosakan jalan Persekutuan itu sendiri yang kita sebut jalan utama. 

Jalan-jalan Persekutuan dilabel sebagai F atau FT yang dibina dan diselenggara oleh Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR). Sebanyak 35 peratus daripada 17,771.42 kilometer (km) jalan Persekutuan didapati mengalami masalah ‘crocodile crack’ akibat kurangnya penyelenggaraan mengikut jadual. Ia merujuk kepada keadaan jalan rosak akibat rekahan dan retakan pada permukaannya berikutan kekerapan penggunaan oleh kenderaan yang membawa muatan berat.

Kelantan antara yang teruk menerima kerosakan jenis ini dan puncanya adalah volum kenderaan tinggi menggunakan jalan utama Kelantan, selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan. Ini berkadar langsung dengan pertambahan had muatan kenderaan perdagangan diluluskan selain peningkatan jumlah kenderaan yang didaftarkan setiap tahun.

Malangnya, kos selenggara jalan utama dalam negara sebesar RM2 bilion setiap tahun itu, tidak dapat dipenuhi. Bahkan pada 3 tahun lepas iaitu dalam Belanjawan 2019, peruntukan kecil sebanyak RM100 juta sahaja diberikan untuk penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara. RM100 juta daripada RM2 bilion ataupun 5 peratus sahaja? 

Kerajaan Pusat wajib meletakkan kepentingan utama dalam hal jalan ini, ia asas kepada perjalanan yang selesa, cepat, selamat, kondusif kepada rakyat. Tidak kiralah Kerajaan BN dahulu, atau PH, kemudian PN dan terkini Keluarga Malaysia, isu selenggara jalan utama dalam negara kita ini perlu dinoktahkan.

MUJAHID AMAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 17/4/2022

- Advertisement -