Agih bubur lambuk tingkat hubungan masyarakat, petugas keselamatan

- Advertisement -

Oleh TUAN ARJUNA BETA

KOTA BHARU:
Pemuda PAS Tanjong Mas dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Kelantan mengagih sebanyak 1,500 pek bubur lambuk kepada orang ramai dan penjawat awam.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Tanjong Mas, Muhammad Aminuddin Bunyamin berkata, bubur lambuk juga diagih kepada petugas di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Kota Bharu dan Angkatan Pertahanan Awam Kelantan.

Katanya agihan itu dibuat sempena program “Bbagi bubur lambuk” yang menjadi acara tahunan bagi mengimarahkan Ramadan.

“Program itu adalah sebahagian daripada usaha murni pemuda merapatkan hubungan dengan masyarakat dan petugas keselamatan.

“Kita menyantuni seluruh rakyat di Dun Tanjong Mas, sebab itu kita buat program agihan juadah berbuka puasa dan makan colek bagi meningkat hubungan dengan masyarakat.

“Program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa depan dan saya berharap kerjasama yang terjalin ini dapat dieratkan lagi,” katanya selepas Program Pengagihan Bubur Lambuk di pekarangan Pusat Khidmat Dun Tanjong Mas di sini, semalam.

AMAL Cawangan Kelantan dalam pada itu mengagihkan sebanyak 6000 pek bubur lambuk kepada agensi kerajaan, tahfiz, asnaf, rumah kebajikan, pusat jagaan anak yatim dan masyarakat setempat.

Ketua Tim Dapur AMAL Cawangan Kelantan, Asyraf Hamdy Abd Hamid berkata, program memberi makan dan bersedekah sempena Ramadan dapat mendidik jiwa untuk merasai kepayahan hidup orang lain serta menyebarluaskan dakwah.

Katanya, bubur lambuk tersebut dimasak secara gotong royong oleh sukarelawan Yayasan Amal dan Pemuda PAS.

Turut hadir pada program tersebut Pengerusi YAM Cawangan Kelantan, Abd Hamid Seman dan ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Tanjong Mas. – HARAKAHDAILY 17/4/2022

- Advertisement -