Tanah runtuh Bukit Permai dalam fasa akhir pembersihan

Kawasan permukaan cerun Bukit Permai di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, Selangor belum ditutup sepenuhnya dengan kanvas tarpaulin pada 13 April 2022. (FOTO YUSMAN AWANG/HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH dan YUSMAN AWANG

AMPANG JAYA: Kerja-kerja pembersihan berikutan tanah runtuh di cerun Bukit Permai yang menimbus beberapa kediaman penduduk di Taman Bukit Permai 2 serta menyebabkan empat terkorban pada 9 Mac lalu, kini berada dalam fasa akhir pembersihan tanah dan dijangka selesai sekurang-kurangnya menjelang hujung April atau awal Mei ini.

Tinjauan kru HarakahDaily pada Rabu (13 April) di lokasi kejadian di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai 2, mendapati tanah runtuh dari cerun bukit yang sebelum ini menimbus lapan buah kediaman penduduk di sini masih belum dikeluarkan sepenuhnya.

- Advertisement -

Kelihatan kren dan lori tanah masih sedang menjalankan kerja pemunggahan, malah pada satu sudut boleh dilihat bangkai sebuah kenderaan yang berkemungkinan milik penduduk di situ yang telah kemek sepenuhnya kesan dihempap tanah runtuh dari cerun berkenaan, belum lagi diangkut.

Ia memberikan jawapan kepada kenapa kawasan permukaan cerun Bukit Permai belum ditutup sepenuhnya dengan kanvas tarpaulin.

Bekalan air dan elektrik bagaimanapun telah disambung di semua kediaman yang terkesan akibat tanah runtuh sebelum ini, dan penduduk juga kembali ke kediaman mereka kecuali beberapa buah rumah yang kedudukannya paling tepi dan dekat dengan runtuhan tanah berkenaan.

Sebuah kren sedang menjalankan pembersihan di samping sebuah bangkai kenderaan di cerun bukit di Taman Permai 2 pada 13 April 2022 (FOTO YUSMAN AWANG/HARAKAHDAILY)

Bagaimanapun, atas faktor keselamatan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menempatkan pegawainya yang bertugas dalam tiga syif bagi setiap 24 jam untuk memastikan keselamatan penduduk dan orang awam terjamin.

Menurut pegawainya, Fuad Sulaiman yang bertugas di tempat kejadian, hampir setiap hari lori tanah keluar masuk ke kawasan itu untuk mengangkut tanah keluar.

Keadaan tiga buah rumah penduduk di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2 yang paling dekat dengan cerun Bukit Permai pada 13 April 2022. (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

Katanya, kesemua penduduk di situ kini sudah dibenarkan pulang ke kediaman mereka, kecuali empat kediaman yang musnah secara keseluruhan akibat daripada runtuhan tanah itu.

Dalam masa sama, alat pengesan pergerakan tanah juga turut dipasang di cerun yang runtuh untuk mengesan jika terdapat sebarang pergerakan tanah.

“Sebelum ini, sepanjang dua minggu selepas kejadian, belum boleh dimulakan sebarang proses untuk mengeluarkan  tanah (dari lokasi cerun di mana tanah itu runtuh. Ini kerana perlu dipastikan terlebih dahulu tiada pergerakan tanah dan bimbang jika ada terjumpa mayat.

Pegawai MPAJ bertugas, Fuad Sulaiman ketika ditemui kru HarakahDaily pada 13 April 2022. (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

“Tetapi sekarang tanah yang runtuh sebelum ini sudah dikeluarkan sampai ke kaki  bukit, maknanya ia kini dalam fasa akhir. Apabila semua tanah yang runtuh itu dikeluarkan, kami mungkin sudah tidak lagi bertugas  di sini,”  katanya ketika ditemui semasa bertugas, di sini, pada Rabu.

Menurut Fuad, MPAJ menugaskan dua pegawai dalam satu syif untuk memastikan lokasi bencana berada dalam keadaan selamat dan sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan itu perlu dilaporkan kepada pegawai bertugas. – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -