Ramadan, Aidil Fitri suram mangsa tanah runtuh Bukit Permai

Keadaan rumah Mohd Sharif Jiran (kanan) di Taman Bukit Permai 2 pada 13 April 2022 yang terletak di belakang kediaman jirannya yang sebelum ini tertimbus susulan tanah pada cerun Bukit Permai runtuh pada 9 Mac 2022. (FOTO YUSMAN AWANG/HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH dan YUSMAN AWANG

AMPANG JAYA: Selepas sebulan tragedi yang mengorbankan empat nyawa di Taman Bukit Permai 2 di sini, akibat tanah runtuh pada 9 Mac lalu, mangsa kejadian yang beragama Islam menyambut Ramadan kali ini dan Syawal yang bakal menjelang, dalam suasana kesuraman.

Suri rumah, Norazian Abdul Karim, 54, berkata sambutan Ramadannya kali ini terasa sangat berbeza setelah kejadian tanah runtuh itu.

Menurutnya, saudara mara dan rakan-rakannya telah  melahirkan kebimbangan untuk menziarahi kediamannya pada Aidil Fitri tahun ini disebabkan kejadian berkenaan.

- Advertisement -

“Begitu juga Ramadan (kali ini) memang tidak sama lagi, walaupun kediaman saya tidak ditimbusi tanah sepertimana mereka (jiran-jiran di bahagian paling tepi dan dekat dengan cerun Bukit Permai yang runtuh). Mesti ramai yang tidak berani untuk datang ziarah ke rumah saya. 

“Lagipun, ziarah belum lagi dibenarkan di sini. Namun, kalau dibenarkan ziarah sekali pun, saya rasa mungkin separuh daripada mereka mungkin tak datang,” katanya yang tinggal selang tujuh pintu dari kediaman jirannya yang ditimbusi tanah berkenaan.

Menurut Norazian, sebelum kejadian, penduduk dapat menikmati pemandangan yang indah serta menghirup udara segar setiap hari dengan suasana yang nyaman, di sini.

Katanya, mereka juga sering menggunakan laluan bersebelahan cerun sebagai jalan keluar yang lebih dekat atau jalan pintas untuk ke jalan utama.

Selepas menetap selama 20 tahun di Taman Bukit Permai 2, kejadian tanah runtuh tanggal 9 Mac 2022 meningalkan memori hitam buat Norazian Abdul Karim kerana Ramadan dan Aidil Fitri kali ini dirasakannya tidak seceria dahulu. (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

Kini, walaupun udara masih segar dan nyaman, namun katanya keadaannya tidak sama lagi, apatah lagi dia seakan fobia susulan kejadian pekerja Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)  tertimbus semasa berlari menyelamatkan diri pada 9 Mac itu.

Menurut Norazian, semasa kejadian, runtuhan pertama yang didengarinya seolah-olah sebuah kenderaan berat sedang melanggar sesuatu.

Dia kemudian bergegas keluar dari rumahnya untuk mencari punca bunyi itu dan melihat beberapa orang pekerja SYABAS sedang berlari menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, runtuhan kedua telah menimbuskan salah seorang pekerja SYABAS dan Norazian menyaksikan di depan matanya sendiri akan kejadian itu.

Keadaan empat buah rumah di barisan sama dengan kediaman Norazian di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, Selangor di bahagian paling dekat dengan cerun Bukit Permai pada 13 April 2022. (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

“Apabila saya keluar dari rumah selepas mendengar tanah runtuh buat kali pertama, saya nampak pekerja SYABAS berlari ketakutan. Tetapi apabila kali berlaku runtuhan kedua, memang salah seorang daripada mereka  tak sempat lari,”  kongsinya dengan penuh sayu.

Kata Norazian lagi, walaupun setelah sebulan tragedi itu menimpa penduduk Taman Bukit Permai 2, mereka masih diselubungi rasa takut apabila hujan.

Menurutnya, apatah lagi jika hujan lebat berlaku di malam hari, dia sukar untuk melelapkan mata dan berjaga sepanjang malam untuk berwaspada jika ada maklumat mengenai pergerakan tanah di situ, diumumkan.

Wartawan HarakahDaily, Syahirah Salleh sedang menemubual Mohd Sharif di Taman Bukit Permai 2 pada 13 April 2022. (FOTO YUSMAN AWANG/HARAKAHDAILY)

“Apabila hujan, kita semua macam tak senang, kalau hujan malam tidur memang tidak lena, sentiasa dengar arahan, sentiasa buka telefon tunggu maklumat daripada MPAJ. 

“Sebab, MPAJ akan maklumkan kalau ada pergerakan tanah, sebab mereka pasang sensor di atas sana.

“Jadi, kalau sensor itu dapat kesan pergerakan, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan maklumkan pada MPAJ kemudian maklumkan terus kepada penduduk,” katanya.

Namun, walaupun dia dan keluarga masih fobia dengan kejadian tanggal 9 Mac lalu itu, namun Norazian masih berkeyakinan untuk tinggal di rumahnya itu. Bagaimanapun, sambutan Ramadan dan Aidil Fitri kali ini dirasainya agak berbeza daripada sebelum ini.

Pemandangan sekitar rumah di bahagian tepi cerun Bukit Permai di di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2 pada 13 April 2022. (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

“Selepas sudah berlaku semua ini, Ramadan kali sudah tidak ceria bagi saya, rasa macam perasaan itu kurang seronok, tetapi masih bersyukur sebab masih selamat di sini,” tuturnya yang sudah 20 tahun menetap di Taman Permai 2.

Cuma kata Norazian, apabila setiap kali melihat ke cerun runtuh itu, dia berasa sayu mengingatkan jiran-jirannya serta pekerja SYABAS yang terkorban semasa kejadian.

Selain itu katanya, setakat ini tiada bantuan yang diterima Norazian walaupun sudah sebulan kejadian itu berlaku.

“Namun, kemungkinan jiran-jiran yang kediaman mereka rosak  teruk  masing-masing telah menerima bantuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norazian menasihatkan bakal pembeli rumah agar dapat mengambil iktibar daripada kejadian itu dengan mengkaji dan menambah ilmu pengetahuan berkenaan geografi permukaan tanah di kawasan kediaman bakal didiami mereka selepas membelinya.

Jiran di belakang rumah Mohd Sharif datang ke kediamannya untuk mengambil beberapa barangan di Taman Bukit Permai 2 pada 13 April 2022. (FOTO YUSMAN AWANG/HARAKAHDAILY)

Sementara itu, seorang lagi penduduk Taman Bukit Permai 2, Mohd Sharif Jiran, 60, berkata Ramadan yang dilaluinya tahun ini sangat berlainan jika dibandingkan tahun sebelum ini walaupun berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, dia tidak dapat menggambarkan bagaimana sambutan Aidil Fitri yang bakal menjelang nanti dengan keadaan rumahnya yang tidak dapat didiami sehingga ke hari ini.

Mohd Sharif dan keluarga kini terpaksa berteduh di inap desa milik rakannya di perumahan berdekatan, iaitu di Taman Megah sementara menunggu kerja-kerja pembersihan, membaik pulih cerun dan rumahnya siap.

Katanya, walaupun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberi jaminan untuk mendiami rumahnya, namun ia tidak cukup untuk menjamin keselamatannya dan keluarga memandangkan ia hanyalah jaminan secara pertuturan.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 ini akan menyebabkan kehidupan penduduk di sini tidak akan lagi sama seperti sebelum ini. (FOTO YUSMAN AWANG/HARAKAHDAILY)

“Saya perlukan surat ataupun arahan hitam putih daripada pihak MPAJ untuk menyata dan mengesahkan kediaman saya itu selamat untuk dihuni.

“Nampaknya sambutan Ramadan dan raya kami kali  terpaksalah diraikan dalam keadaan begini sahaja,” tuturnya luluh. 

Walaupun begitu, kata Mohd Sharif, dia dimaklumkan MPAJ akan membuat pemeriksaaan menyeluruh untuk memastikan kondisi rumah di sekitar kawasan bencana dalam masa terdekat.

Mohd Sharif ditemui HarakahDaily semasa memantau kerja-kerja pembersihan di lokasi bencana di rumahnya menegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai kekurangan dari aspek teknikal dalam mengawal kejadian tanah runtuh.

Namun katanya, tanggungjawab seperti pemeriksaaan berkala serta penyelenggaraan cerun perlu diperbaiki untuk mengelakkan kejadian sedemikian.

“Kejadian di Taman Bukit Permai 2 diharapkan dapat membuka mata ramai pihak mengenai kepentingan memilik ilmu pengetahuan berkenaan cerun, namun dia kesal perkara itu selalunya tidak berpanjangan dan orang ramai lama kelamaan akan melupainya sehinggalah berlaku kejadian tanah runtuh yang lain pula.

“Masyarakat perlu ambil tahu mengenai kondisi permukaan tanah rumag yang bakal dibeli dan didiami, bukan setakat beli rumah sebab pemandangan sekeliling yang indah semata-mata,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -