Laluan alternatif atasi kesesakan menjelang raya

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Polis akan menyediakan tiga jalan alternatif bagi mengatasi kesesakan teruk yang dijangka akan berlaku menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri awal bulan depan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata, pasukan polis trafik akan mengenal pasti laluan berkenaan dan memasang tanda arah yang perlu dilalui kenderaan.

- Advertisement -

Katanya, ketiga-tiga jalan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat bagi kemudahan pengguna jalan raya yang melalui jajahan Pasir Puteh.

“Persediaan itu penting sebagai mengurangkan kesesakan memandangkan hampir dua juta rakyat Kelantan yang berada di perantauan dijangka pulang berhari raya di kampung,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan Bazar Ramadan Pasir Puteh. Turut hadir Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) Noor Azman Md Nawi.

Menurutnya juga polis akan mengadakan sekatan jalan raya di jalan utama termasuk di Bukit Yong untuk mengawal keselamatan, lalu lintas dan mengekang aktiviti penyeludupan dadah.

“Peluang itu mungkin akan diambil kesempatan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Pasir Puteh merupakan pintu masuk Kelantan melalui Terengganu. Laluan itu menjadi pilihan pengguna jalan raya dari Pahang, Johor dan Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -