Harga tiket penerbangan ke Sabah melonjak musim perayaan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang meningkat ketara setiap kali menjelang musim perayaan dianggap tidak berpenghujung sehingga sekarang.

Setiap kali tiba musim perayaan harga tiket berlaku peningkatan lebih 56 peratus sehingga mencecah RM2,000 bagi penerbangan ke Sabah.

Presiden Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) Mohd Shahrul Izzat Basri berkata, peningkatan itu merupakan bebanan besar perlu ditanggung rakyat Sabah dan Sarawak yang ingin pulang menyambut perayaan.

- Advertisement -

Katanya, bagi mahasiswa yang tidak mempunyai duit poket dalam kalangan keluarga B40 terpaksa memilih beraya di kampus setiap tahun.

“Isu ini diibaratkan seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, tiada usaha yang jelas dan terancang oleh pihak berwajib untuk memperjuangkan masalah rakyat di perantauan.

“Kebajikan rakyat yang berada di perantau juga perlu diambil peduli dan diperjuangkan bukan hanya ketika musim pilihan raya sahaja,” katanya pada kenyataan di sini.

Oleh itu kata beliau MARSIS mencadangkan kerajaan Sabah mencontohi usaha yang diambil kerajaan Sarawak melalui pelaksanaan i-GPS iaitu Subsidi Tambang Penerbangan Mahasiswa Anak Sarawak.

Menurutnya i-GPS merupakan subsidi tambang penerbangan yang diberi kerajaan Sarawak kepada mahasiswa anak Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.

Kata beliau nilai subsidi diberi sebanyak RM300 untuk dua kali penerbangan dalam setahun. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Yayasan Sarawak.

“Usaha yang dilaksana kerajaan Sarawak menunjukkan mereka cakna terhadap kebajikan mahasiswa mereka yang berada di perantauan.

“Mahasiswa anak Sarawak dapat memanfaatkan kegunaan i-GPS jika mereka ingin pulang ke kampung semasa cuti perayaan atau cuti semester,” ujarnya.

Sehubungan itu MARSIS berharap kerajaan Sabah mengambil peduli isu tersebut sebagai antara penyelesaian mendepani isu terbabit. – HARAKAHDAILY 13/4/2022

- Advertisement -