KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa gembira dan amat bersyukur melihat suasana Ramadan tahun ini.
Katanya, ramai orang membawa keluarga ke surau dan masjid bagi mendirikan solat berjemaah terutama pada waktu Isyak dan tarawih.
Menurutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia telah melancarkan Tabung Wakaf Masjid Hijau.
“Ia adalah inisiatif pembiayaan inovatif untuk membangunkan masjid berasaskan teknologi hijau,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial beliau, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya disalurkan dana wakaf terus ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mengucapkan terima kasih kepada semua pewakaf yang budiman.
Tabung Wakaf Masjid Hijau merupakan produk wakaf yang diwujudkan melalui kerjasama antara YWM dan MGTC, sebuah agensi di bawah KASA.
Kerjasama itu telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah YWM pada 14 Oktober 2021.
Wakaf Masjid Hijau itu merupakan sumber pendanaan bagi projek-projek pembangunan masjid-masjid di Malaysia yang berasaskan teknologi hijau serta menyebar luas kepentingan gaya hidup hijau terutamanya dalam kalangan ahli kariah masjid dan masyarakat setempat.
Masyarakat boleh turut sama dalam pelaksanaan Wakaf Masjid Hijau, dengan berwakaf secara tunai melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia.
Di pilihan ‘Jenis Wakaf’, masyarakat hanya perlu memilih ‘Wakaf Khas / Projek (WK) dan memilih Wakaf Masjid Hijau.
Masyarakat juga boleh menyumbang secara tunai ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank melalui nombor akaun 2124-576004-6138. – HARAKAHDAILY 13/4/2022