“KKECEK pasal pelabuhe ni, tiap tiap maso, tapi tak nyo rajing jadi kijoan,” (“Selalu sebut mengenai pelabuhan, tapi tak pernah jadi,”) kata seorang kawan pada saya beberapa hari lalu. Ia menjadi noktah perbualan kami atas isu itu.
Ya, walaupun berjuta kali kita katakan Kelantan akan lebih maju dengan adanya pelabuhan, tetapi tetap juga rezeki ia tidak terwujud di bumi kami.
Sejak 12 Mac 1997 lagi, berita mengenai pelabuhan di Kelantan telah kedengaran apabila Menteri Besar, Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat menandatangani satu perjanjian dengan Hongkew Holdings (M) Sdn Bhd yang diwakili oleh Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.
Sejumlah RM200 juta dijangka akan dilabur untuk membangunkan tanah seluas 88 hektar di Tumpat sebagai pelabuhan Antarabangsa yang akan menerima kapal-kapal besar Indo-China. Projek ini dikatakan mampu siap dalam masa dua tahun sahaja dan bakal menerima kapal-kapal pertama dari Thailand, Kemboja dan Vietnam.
Pelabuhan ini mampu menguruskan enam kapal bersaiz 20,000 tan metrik pada satu-satu masa. Ia akan membantu Kelantan merancakkan perniagaan, perusahaan dan aktiviti komersial domestik. Ia juga akan memanfaatkan kilang simen di Gua Musang dan juga eksport arang batu.
Apapun, dalam sejarah lama 25 tahun lampau ini, tersemat satu harapan besar Almarhum Tok Guru yang mengimpikan pelabuhan ini agar menjadi penyumbang kepada pembangunan sektor industri negeri. Malahan ada kata-kata menyebut, “Each time when I saw the Prime Minister (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad), I asked for a port to be built in Kelantan”.
Petikan berita tahun 1997 ini menandakan kebijaksanaan dan kesungguhan Almarhum dalam usaha melihat Kelantan maju. Namun hingga kini ia belum direalisasikan. Kenapa? Lipatan sejarah penuh dengan misteri tersendiri.
Cerita lebih awal mengenai pelabuhan
Pada tahun 1979 dan 1980 sebenarnya telah diadakan kajian mendalam berkaitan perlunya pelabuhan di Kelantan hinggakan ‘specific gravity, mean diameter of subsoil, tidal levels’ dan beberapa kajian mendalam lainnya. Iaitu di sekitar Sabak dan Kemasin telah dilaksanakan untuk menentukan lokasi terbaik pelabuhan di negeri ini.
Pada waktu itu, pembangunan khasnya berkait pewujudan pelabuhan ini menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat atas dua matlamat iaitu ‘Eradication of Poverty’ ataupun pembasmian kemiskinan dan keduanya ‘Restruction of Society’ iaitu penstrukturan semula masyarakat.
Dengan kewujudan pelabuhan itu, dijangka jalan jalan raya utama yang menghubungkan negeri ini dengan Lembah Klang dan negeri-negeri strategik lainnya akan terbina. Begitu juga dengan jaringan landasan kereta api yang akan lebih sesak dengan keluar masuk barangan dagangan.
Selain itu, akan banyak lagi manfaat langsung dan tidak langsung akan diperolehi rakyat negeri ini dalam aspek kemajuan apabila pelabuhan wujud.
Kenapa Kelantan perlukan pelabuhan?
Sejak zaman dahulu, Kelantan tertinggal dalam aspek pembangunan serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Justeru dengan adanya pelabuhan ini, ia bakal meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri.
Sektor industri, agrikultur, perhutanan, ‘livestock’ dan perikanan menyumbang satu pertiga daripada keseluruhan KDNK negeri. Manakala industri pembuatan hanya mencatatkan peratusan di bawah 8 peratus. Ini data pada 1978 yang menyebabkan Kerajaan Negeri dan Pusat berpandangan perlunya pelabuhan.
Produk agrikultur pada waktu itu seperti getah, beras, tembakau, buah-buahan, kekacang, kelapa, sayur, pisang dan kelapa sawit menjadi hasil yang lumayan buat negeri.
Apatah lagi dengan industri perhutanan iaitu pembalakan pada tahun 1970 menjadi antara sumber ekonomi yang berpotensi tinggi dengan keluasan hutan adalah 75 peratus daripada keseluruhan luas negeri. Kayunya juga bermutu dan berkualiti tinggi dan boleh dipasarkan ke luar negara sekiranya wujud pelabuhan.
Berkait industri perikanan negeri pula, pada tahun 1978 jumlah nelayan aktif adalah 6,475 orang di daerah Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh. Ikan di negeri ini boleh ditangkap sehingga 15,000 tan setahun dan ianya juga berpotensi dieksport ke luar negara dengan jenis ikan yang mahal dan bermutu.
Beras juga menjadi antara hasilan utama negeri pada waktu itu dengan kewujudan 111,000 petani majoritinya Melayu yang memiliki tanah sawah sendiri seluas lebih 9,000 meter persegi. Sebanyak 25 peratus beras dipasarkan oleh Kelantan ke Terengganu, Johor dan Pahang serta berpotensi untuk ke pasaran yang lebih luas.
Industri pembuatan pula menyumbang kepada 41.9 juta dalam bentuk KDNK Kelantan. Data pada tahun 1973 menunjukkan wujudnya 424 pemain industri pembuatan di sini yang mana 77 peratus menghasilkan produk makanan, tembakau, perabot, kayu balak, produk perkayuan dan tekstil.
Penghasilan lain Negeri Kelantan adalah industri pembinaan dan juga perlombongan. Banyak pelabur luar negara berminat untuk mengeluarkan hasil bumi dan mineral sekiranya terdapat pelabuhan di Kelantan.
Dan, senarai kenapa perlunya pelabuhan pada waktu dahulu di Kelantan, masih boleh ditulis atas puluhan sebab lagi. Senarainya masih panjang, tetapi cukuplah dahulu yang saya coretkan di atas.
Segenting Kra
Pelabuhan Kelantan adalah untuk Malaysia, bukan untuk Kelantan semata-mata. Wujudnya pelabuhan besar yang dalam serta lengkap di Kelantan bukan sahaja memanfaatkan negeri kami, tetapi juga Malaysia.
Telah sekian kali kita dengar hasrat kuasa-kuasa besar dunia untuk ‘memotong’ terus Segenting Kra yang bakal merubah geopolitik dan geoekonomi dunia. Ia juga bakal memberi kesan besar kepada peranan Singapura serta merencatkan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang milik negara kita.
Justeru, Kelantan berpotensi besar memainkan peranan strategik bagi negara.
Bersambung Siri 2
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 12/4/2022