DPPM rai rakan agama lain rasai suasana iftar

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

SHAH ALAM: Misi perpaduan merupakan objektif utama diadakan Majlis Iftar Perpaduan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bertempat di Mardhiyyah Hotel and Suites, di sini, malam tadi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari, berkata iftar bertemakan perpaduan ini merupakan acara tahunan diadakan pihaknya bagi meraikan rakan-rakan agama lain merasai suasana iftar dan diberikan kefahaman tentang bulan Ramadan serta ibadah puasa.

- Advertisement -

Katanya, majlis yang dikelola Lajnah Perpaduan Nasional PAS ini amat mementingkan perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat terutamanya badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Lajnah Perpaduan Nasional ini merupakan antara lajnah yang kita titik beratkan untuk kita bergerak aktif.

“Terutama di bawah kepimpinan Senator Ir Khairil Nizam Khirudin yang mana beliau begitu menitik beratkan program-program di bawah lajnah ini,” katanya kepada media, selepas selesai Majlis Iftar Perpaduan DPPM.

Dalam pada itu katanya, program sebegini akan diteruskan pada masa-masa akan datang dalam usaha menyatukan pelbagai kaum di negara ini.

“Insya-Allah kita mengharapkan supaya program-program seperti ini dapat dilaksanakan dalam bentuk-bentuk yang berbeza dan pelbagai selepas ini,” ujarnya.

Majlis Iftar Perpaduan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ini meraikan pelbagai wakil parti antaranya Armada, Gerakan, Ikatan, DHPP.

Selain itu, antara NGO yang turut dijemput adalah UNITY dan GAMIS, manakala beberapa media turut hadir ialah Sinar, Oriental dan Sin Chiew.

Majlis bermula pada jam 6.00 petang dengan nyanyian lagu Negaraku, disusuli sesi ice breaking.

Pada jam 7.45 malam, semua tetamu menjamu selera dan majlis diteruskan dengan sesi kuiz interaktif melalui aplikasi Kahoot yang disertai tetamu yang bukan beragama Islam.

Majlis berakhir sekitar jam 9.15 malam setelah selesai sesi bergambar bersama tetamu yang hadir. – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -