AS pantau peningkatan pencabulan hak asasi manusia di India

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken (kanan) dan Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar. (FOTO Deccan Herald)
- Advertisement -

WASHINGTON: Amerika Syarikat sedang memantau apa yang disifatkannya sebagai peningkatan dalam pencabukan hak asasi manusia di India, dalam teguran langsung yang jarang berlaku oleh Washington mengenai rekod hak negara Asia Selatan itu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, AS kerap terlibat dengan rakan kongsi kami (India) mengenai nilai bersama (hak asasi manusia).

- Advertisement -

“Justeru, untuk itu, kami memantau beberapa perkembangan terkini di India termasuk peningkatan dalam pelanggaran hak asasi manusia oleh beberapa pegawai kerajaan, polis dan  pegawai penjara di negara itu,” ujar  Blinken pada Isnin (11 Mac) dalam taklimat akhbar bersama Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin; Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar; dan Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh.

Blinken bagaimanapun tidak mengulas lanjut, manakala  Singh dan Jaishankar, yang bercakap selepas Blinken pada taklimat itu, juga tidak mengulas mengenai isu hak asasi manusia berkenaan.

Kenyataan Blinken dibuat beberapa hari selepas wakil AS, Ilhan Omar mempersoalkan dakwaan keengganan kerajaan AS untuk mengkritik kerajaan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengenai hak asasi manusia di negara itu.

“Apakah yang perlu Modi lakukan kepada penduduk Islam India sebelum kita (AS) berhenti menganggap mereka sebagai rakan kongsi dalam keamanan?” soal Omar, yang merupakan ahli Parti Demokrat Presiden Joe Biden pada  minggu lalu.

Kenyataan Blinken itu dibuat ketika pertempuran antara penganut Hindu dan Muslim semasa perayaan Hindu Ram Navami yang mendorong polis mengenakan perintah berkurung di beberapa negeri India, manakala pihak berkuasa di tengah negeri Madhya Pradesh merobohkan beberapa rumah milik umat Islam

Pengkritik Modi berkata, parti pemerintah ultra-nasionalis Hindunya telah memupuk polarisasi agama sejak berkuasa pada 2014, namun Modi menafikan tuduhan itu.

Sejak Modi berkuasa, kumpulan Hindu sayap kanan telah melancarkan serangan ke atas minoriti Islam yang mendakwa mereka cuba menghalang penukaran agama. 

Beberapa negeri di India telah meluluskan atau sedang mempertimbangkan undang-undang antipenukaran yang mencabar hak kebebasan kepercayaan yang dilindungi oleh perlembagaan.

Pada 2019, kerajaan meluluskan undang-undang kewarganegaraan yang dikatakan pengkritik menjejaskan perlembagaan sekular India dengan mengecualikan pendatang Islam dari negara jiran. 

Undang-undang itu bertujuan untuk memberikan kewarganegaraan India kepada penganut Buddha, Kristian, Hindu, Jain, Parsis dan Sikh yang melarikan diri dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan sebelum 2015. – Agensi

- Advertisement -