ECERDC sasar RM1.8 bilion pelaburan ke Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) optimis dapat mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM1.8 bilion di Kelantan tahun ini.

Jumlah pelaburan itu dijangka bakal mewujudkan lebih 1,200 pekerjaan baharu dan lebih 300 peluang keusahawanan.

Pengurus Perhubungan Media ECERDC Tengku Mazlinda Tengku Mahmood berkata, sehingga 31 Mac lepas ECERDC menarik pelaburan komited berjumlah RM990 juta ke Kelantan.

Katanya, ECERDC yakin sasaran itu dapat dicapai dengan adanya pakej insentif cukai khas Kelantan yang diluluskan Kementerian Kewangan.

- Advertisement -

“Di bawah Insentif Khas Kelantan, pelabur yang layak akan menikmati 100 peratus pengecualian cukai pendapatan selama 15 tahun dengan lanjutan lima tahun lagi pada kadar istimewa 17 peratus.

“Bagi pekerja bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan, mereka hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus sebagai insentif tambahan untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Kelantan,” katanya pada kenyataan semalam.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan.

Hadir sama pada mesyuarat Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Dato’ Baidzawi Che Mat.

Pada mesyuarat tersebut menteri besar memberitahu hubungan erat Kerajaan Persekutuan, negeri dan ECERDC memperkukuh daya saing sebagai destinasi pelaburan.

Oleh itu kerajaan negeri berharap ECERDC mempergiatkan lagi aktiviti promosi pelaburan bagi menarik Pelaburan Langsung Domestik (DDI) dan FDI ke Kelantan.

Tengku Mazlinda juga berkata, di bawah pelan transformasi Tok Bali, ECERDC akan memanjangkan dan menaik taraf jeti pendaratan ikan bagi membolehkan kapal moden berlabuh.

Katanya, langkah itu akan meningkatkan lagi pertumbuhan aktiviti hiliran di kawasan tersebut termasuk pemprosesan ikan, ikan beku dan otoshimi.

“Pada tahun ini di bawah program Pembangunan Modal Insan, ECERDC turut menyasarkan untuk melatih seramai 2,000 pelajar di 50 sekolah menerusi Program Latihan Akademik empower ECER.

“Manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER pula akan melatih seramai 627 peserta di Kelantan dengan sokongan Yayasan Petronas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -