KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, bermula hari ini.
Dalam Mesyuarat Khas di Dewan Rakyat, RUU ini dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata seramai 65 Ahli Parlimen akan mengambil bahagian pada perbahasan hari ini, manakala penggulungan akan dibuat oleh Dr Wan Junaidi pada jam 5 petang.
Semalam, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi meneliti dan mengubal Akta Antilompat Parti yang dianggotai wakil daripada kerajaan dan pembangkang.
Katanya, kerajaan turut mensasarkan akta berkenaan akan dibentang pada sesi Parlimen, Julai depan.
“Saya harap perkara ini dipercepatkan, sasaran kerajaan untuk bentangkan Akta Antilompat Parti ini pada sesi bulan Julai nanti.
“Tetapi tergantung kepada yang pertama, tergantung kepada Jawatankuasa Khas nanti secepat mana mereka boleh cadangkan untuk dibentangkan kepada Kabinet untuk persetujuan. Maka boleh bentang di Parlimen,” katanya.
Perbahasan pindaan RUU Antilompat Parti, hari ini, dimulakan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) sebagai pembahas kedua mencadangkan pindaan RUU ini perlu melibatkan Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini kerana pelantikan mereka juga dikira sebagai pilihan rakyat yang dibuat di peringkat DUN,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu mengambil kira hak rakyat kerana mereka mengundi memilih wakil rakyat tersebut ketika pilihan raya diadakan.
“Kalau wakil rakyat itu rasa hebat sangat, mereka boleh tanding atas tiket Bebas selepas meninggalkan parti asal. Atas rasa tanggungjawab kepada parti itu penting, kerana parti tersebut yang memberi watikah, dia dipilih sebagai wakil parti dan bukan peribadinya sendiri.
“Kalau wakili parti, bermakna wakil rakyat tersebut kena ingat, kena akur apa yang dibuat oleh sesebuah parti,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/22