Kerajaan patut guna budi bicara tangani masalah nelayan

ADUN patut datang 'tadah telinga' dengar golongan teraniya itu

- Advertisement -

BALIK PULAU: Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharap dapat menggunakan pendekatan secara budi bicara dan perbincangan bersama dalam menangani isu-isu golongan nelayan terutama berkaitan kemudahan usaha perikanan mereka.

- Advertisement -

Ini kerana mereka perlu diberi bantuan sewajarnya agar terus dapat membekalkan hasil perikanan diperlukan setiap hari, selain sebagai sokongan bangkit dan pulih semula dari kesan pandemik COVID-19 yang melanda sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata demikian ketika turun melihat sendiri keadaan setor simpanan pukat nelayan yang dirobohkan penguat kuasa di Kampung Nelayan Sungai Batu, di sini Rabu lalu.

Mengakui adanya ketidakpatuhan undang-undang, namun kata beliau, hal tersebut bukan melibatkan kesalahan jenayah berat, sebaliknya memerlukan kompromi dan penyelesaian yang dapat memberikan kemudahan.

“Para nelayan menghadapi masalah batu ladung pemberat pada pukat mereka sering hilang. Batu timah itu orang ambil curi dan jual sebab ada harga. Pukat buang dalam air tak tenggelam bila nak tangkap ikan.

“Jadi depa bina setor berkunci macam ni semata-mata untuk simpan pukat supaya tak berlaku kecurian,” terang beliau yang simpati mendengar aduan disampaikan para nelayan ketika kunjungannya itu.

Seru beliau, dalam situasi tersebut pihak kerajaan sepatutnya mengadakan perbincangan bersama para nelayan bagi mencari alternatif kepada masalah golongan itu dan bukannya menambahkan lagi beban mereka.

Katanya, dengan perobohan tersebut menyebabkan para nelayan bukan sahaja tiada tempat selamat bagi menyimpan pukat mereka dan kecurian akan terus berlaku, malah kerugian atas kos binaan stor yang dirobohkan.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang turut serta dalam tinjauan itu memberitahu bahawa tindakan perobohan oleh penguat kuasa sememangnya atas arahan kerajaan dan dalam makluman wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Mesti dia (wakil rakyat) tahu (arahan perobohan) sebab tu dia buat tak tahu,” ujarnya memberi reaksi terhadap aduan para nelayan tersebut yang menyatakan tidak menerima maklum balas dari wakil rakyat DUN dan Parlimen di sini.

Menurut beliau, masalah kecurian ladung timah dihadapi para nelayan ini perlu menjadi satu perhatian daripada kerajaan negeri untuk membantu golongan ini, bukan diambil tindakan perobohan tanpa mendengar keluhan dihadapi.

Para nelayan ini ujarnya, menghadapi dilema hendak ke laut tetapi ladung timah hilang dan apabila dibuat bangunan sementara yang tiada kemudahan lain seperti air dan elektrik, dikenakan pula tindakan oleh pihak berkuasa.

“Hanya semata-mata bangunan yang ‘simple’ untuk pukat mereka dikunci disimpan (dari dicuri). Mereka berbelanja sehingga RM7,000 untuk buat bangunan tu. Mereka dizalimi dua kali, satu oleh pencuri dan satu lagi pihak berkuasa yang tak cuba memahami.

“Sepatutnya ADUN datang ‘letak telinga’ mendengar keluhan mereka itu. Bawa bincang dengan Exco berkaitan supaya kerajaan negeri dapat ambil inisiatif bantu mereka misalnya wujudkan pusat simpanan yang lebih tersusun.

“Sama ada letak kontena atau tempat yang dapat simpan pukat. Saya ingat dulu ada cadang pukat percuma oleh YB Batu Maung kepada nelayan. Kita ingat lagi siapa yang cadang itu. Kita PAS pun berada dalam Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) lepas PRU12.

“Kita rangka Manifesto PR PRU13 dulu dengan DAP dan PKR pun ada kemuka pemberian pukat percuma dua kali setahun. Cadangan itu baik kepada nelayan. 

“Tetapi bila nelayan hadapi musibah kehilangan ladung ini, kerajaan yang mengaku prihatin ini tidak datang melalui ADUN atau Exco berkaitan untuk mendengar dan selesaikan,” kesalinya terhadap tindakan sebaliknya yang berlaku.

Merujuk kepada notis diberikan yang menyatakan nelayan terbabit telah menceroboh tanah kerajaan, beliau mengajak supaya melihat isu pencerobohan tanah lebih berat berlaku di banyak lokasi dalam negeri ini.

Sebaliknya kata Iszuree, fokus tindakan kepada nelayan hingga berlaku kerugian kehilangan atau kerosakan aset perikanan golongan itu sepatutnya ditangani dengan cara yang lebih prihatin dan menangani golongan susah.

“Mereka (kerajaan) ini hanya memandang keuntungan yang besar-besar seperti dibawa golongan kapitalis ke sini, tetapi tidak endah masalah dihadapi rakyat khususnya golongan seperti ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/4/2022

- Advertisement -