Tenaga solar: Kesedaran masih perlu ditingkatkan

- Advertisement -

SELAIN manfaat penggunaan tenaga solar diperluaskan, Kerajaan perlu tingkatkan kesedaran dan kefahaman kepada rakyat Malaysia sama ada di bandar mahupun luar bandar tentang manfaat yang diperoleh hasil daripada pemasangan tenaga solar di kediaman negara ini. 

- Advertisement -

Berdasarkan jawapan Menteri berkaitan soalan tambahan saya di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, dilihat seolah-olah Kerajaan juga mengakui rakyat Malaysia masih kurang kesedaran tentang penggunaan tenaga solar yang mampu menjimatkan bil elektrik yang melambung tinggi berikutan harga arang batu global yang meningkat secara mendadak.

Meskipun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif bagi menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Malaysia, namun begitu sambutan pemasangan tenaga solar daripada sektor kediaman masih kurang memberangsangkan.

Sebagaimana laporan daripada Pihak Berkuasa Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) 2020 menyatakan hanya 7.76 megawatt (7 peratus) sahaja yang mengambil bahagian. Ini merupakan angka yang sangat sedikit sedangkan 3.2 juta hartanah kediaman berpotensi untuk memasang tenaga solar.

Ironinya, kebergantungan seratus peratus sumber yang semakin berkurangan terutama arang batu, minyak dan gas asli dalam penjanaan tenaga elektrik seluruh negara amat membimbangkan. Hal ini kerana kira-kira 93 peratus penjanaan elektrik di Semenanjung sahaja bergantung sepenuhnya kepada  arang batu dan gas asli. 

Sudah pasti sumber alam terutama cahaya matahari yang diberikan oleh Allah SWT secara fitrah ini perlu kita manfaatkan dan menggunakannya sebaik mungkin kerana ianya didapati secara mesra alam dan tidak dipengaruhi kuasa politik antarabangsa dan monopoli syarikat multinasional yang menguasai sumber tenaga dunia. Ini membuktikan tanda kekuasaan Allah SWT sepertimana FirmanNya:

Maksud: 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.”

(Fussilat: 37)

Justeru, saya mengharapkan Kerajaan dan agensi yang terlibat dapat memikirkan mekanisme yang berkesesuaian untuk memperhebat lagi program, kempen, skim bantuan dan sebagainya dalam memberi kesedaran dan kefahaman kepada rakyat khususnya B40 dan M40 manfaat yang diperoleh hasil daripada pemasangan tenaga solar di kediaman masing-masing.

“Islam Menyatukan Ummah”

SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 3/4/2022

- Advertisement -