Harga rendah punca utama minyak masak subsidi polibeg diseleweng

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Harga kawalan yang rendah, iaitu RM2.50 bagi minyak masak subsidi polibeg satu kilogram menjadi faktor utama minyak masak ini di sebahagian tempat diseleweng.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, berkata jurang harga yang ketara antara minyak masak subsidi polibeg satu kilogram dengan minyak masak botol lima kilogram menyebabkan minyak masak polibeg mendapat permintaan tinggi di kalangan pengguna.

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun kerajaan menetapkan minyak masak subsidi polibeg satu kilogram hanya untuk kegunaan isi rumah domestik, peniaga kecil dan sederhana turut mengambil peluang untuk menggunakan minyak masak polibeg bagi mengurangkan kos operasi dalam perniagaan mereka.

Katanya, pembelian dalam kuantiti yang banyak oleh peniaga pada suatu masa menyebabkan bekalan minyak masak polibeg sering kehabisan stok di kedai runcit dan pasar raya.

“Selain itu, harga yang rendah berbanding negara jiran menyebabkan minyak masak polibeg di negara ini menjadi antara barangan yang sering diseleweng dan diseludup keluar. Aktiviti ini tidak dinafikan turut menjadi punca kekurangan minyak masak subsidi polibeg satu kilogram di pasaran tempatan,” katanya menjawab soalan lisan Senator N Balasubramaniam di Dewan Negara, hari ini.

Balasubramaniam yang juga Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan tindakan terhadap peniaga yang menyembunyikan stok bekalan seperti minyak paket dan punca perkara ini berlaku.

Rosol berkata, KPDNHEP giat menangani isu kekurangan bekalan minyak masak subsidi di pasaran dengan mengambil beberapa langkah seperti mengarahkan pemeriksaan dan pengauditan di setiap peringkat rantaian pengedaran minyak masak.

Katanya, pemeriksaan pematuhan permit dijalankan ke atas peniaga kecil dan pengusaha restoran, serta membuat risikan ke atas pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit dengan sasaran terpilih yang disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi, termasuk risikan ke negara jiran seperti Thailand.

“KPDNHEP juga menggantung kuota dan lesen ke atas syarikat yang didapati terbabit melakukan penyelewengan dan penyeludupan,” katanya.

Sehingga Isnin lalu, beliau berkata KPDNHEP menjalankan 8,843 pemeriksaan ke atas premis yang terbabit dengan urus niaga minyak masak, membuka 25 kertas siasatan dan 94 premis masih dalam tindakan pengauditan.

Katanya, 15 syarikat pembungkus digantung kuota skim minyak masak (COSS), manakala lima syarikat pemborong digantung lesen urus niaga minyak masak (Lesen Borong CSA).

Selain itu, katanya had pembelian minyak masak polibeg ditetapkan sebanyak tiga paket untuk memastikan lebih ramai pengguna isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP juga mempertingkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM). – HARAKAHDAILY 31/3/22

- Advertisement -