MAFI ambil tindakan tangani isu kepupusan penyu di Terengganu

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Enakmen Penyu Negeri Terengganu mulai 1 Jun akan datang adalah antara pelan jangka pendek Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menangani isu kepupusan penyu di negeri itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata penguatkuasaan enakmen itu membolehkan pengharaman penjualan telur penyu di semua premis bagi tujuan meningkatkan status populasi penyu.

- Advertisement -

Menurutnya, langkah jangka pendek lain ialah mewajibkan pemasangan alat penyisih penyu ke atas semua vesel penangkapan ikan yang menggunakan pukat tunda musim tengkujuh di Terengganu sejak tahun 2017 bagi mengelakkan penyu terperangkap.

Katanya, Jawatankuasa Pasukan Kedamparan Spesies Marin Terancam akan diaktifkan bagi menangani kes kedamparan penyu serta mencari punca sebenar kematian penyu bagi mengurangkan kadar kematian penyu di pantai Terengganu.

“Program pembersihan pantai pendaratan penyu juga dilaksanakan secara tahunan di Terengganu sebelum musim pendaratan penyu bermula pada Mac hingga Oktober setiap tahun, melibatkan pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri, pihak swasta, universiti, sekolah dan orang awam.

“Kempen larangan menyentuh dan memberi makan penyu akan diperluaskan kepada pelancong dan pengusaha bot pelancong di Pulau Redang dan Pulau Perhentian bagi memberi kesedaran akan kesan terhadap penyu,” katanya menjawab soalan lisan Senator Datuk Razali Idris di Dewan Negara, hari ini.

Razali meminta MAFI menyatakan pelan jangka pendek dan panjang, serta sejauh manakah komitmen kerajaan menghalang kepupusan penyu, terutama di Terengganu.

Dr Nik Muhammad Zawawi berkata, pelan jangka pendek terakhir ialah kajian darah penyu yang sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertujuan melihat tahap kesihatan penyu.

Bagi pelan jangka panjang, katanya Jabatan Perikanan Malaysia menyediakan Prosedur Piawaian Pengurusan Penyu (SOP) Semenanjung Malaysia sebagai panduan dalam pengurusan dan pemuliharaan penyu.

“Jabatan Perikanan Malaysia juga menerbitkan Pelan Tindakan Kebangsaan Pengurusan dan Pemuliharaan Penyu sebagai rujukan kepada semua peringkat, manakala aktiviti pengutipan dan pengeraman telur penyu diteruskan serta menganjurkan seminar, bengkel dan kursus secara berterusan bagi meningkatkan tahap kesedaran semua pihak,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Razali, beliau mengakui bahawa terdapat pengurangan ketara pendaratan penyu di Rantau Abang dan keadaan ini mungkin berlaku akibat faktor seperti perubahan cuaca dan keadaan dalam laut seperti karang.

Bagaimanapun, katanya penyu masih tidak meninggalkan Terengganu dengan pendaratan penyu meningkat di Pulau Perhentian dan Pulau Redang. – HARAKAHDAILY 31/3/22

- Advertisement -