Jiwa besar PAS Kelantan

- Advertisement -

“DUN Kelate ado pembangkey doh ko lepah Umno Kelate pputus hubunge baruni?” tanya Pokmat di KB Brewster pagi tadi. Saya yang baru menganga luas mahu menyuap nasi berlauk, terhenti seketika. Ada benarnya soalan Pokmat itu. 

- Advertisement -

Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Yang Kelima Dewan Undangan Negeri Kelantan Keempat belas telahpun bermula sejak Isnin, 28 Mac semalam dan paginya titah DYMM Tuanku Sultan telahpun dimasyhurkan menandakan bermulanya persidangan ini.

PAS Kelantan kekal berjiwa besar. Kita masih kekalkan pendirian bahawa DUN Kelantan tidak wujud pembangkang. Biarpun Umno Kelantan telah membuat keputusan untuk tidak lagi bersama dengan PAS negeri menerusi Muafakat Nasional (MN) pada 22 Januari lalu, tetapi kita masih waras, rasional dan berlapang dada.

Jangan biarkan tamak haloba menguasai setiap keputusan yang dibuat. Tidak begitu tuan-tuan? Dalam DUN Kelantan, Umno memiliki enam kerusi iaitu Kok Lanas, Kuala Balah, Nenggiri, Paloh, Bukit Bunga dan Galas manakala satu kerusi dimiliki BERSATU melalui Tok Pa di Ayer Lanas. 

Kata-kata kesat Umno Kelantan

Sehari selepas Ahmad Jazlan selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan mengadakan sidang media ‘putus hubungan’, Ketua Pemudanya bangkit mempertahan keputusan si ketua. Katanya, “PAS bermain kayu tiga dengan Umno, sedangkan PAS tahu yang Umno tidak boleh menjalinkan kerjasama politik bersama BERSATU”.

Pimpinan PAS telah sekian lama bercakap hal ini. Apa jua harga yang terpaksa dibayar, apa sahaja taktik dan kebijakan politik, apa jua tolak ansur yang perlu wujud, kita wajib lakukan demi perpaduan ummah yang sebenar.

Semua itu kerana apa tuan-tuan? Tidak lain tidak bukan hanyalah demi memperkuatkan kuasa politik Melayu Islam di negara ini. Kita mahu ummah ini kembali kuat dan memiliki kata akhir paling tinggi dalam setiap keputusan politik dalam negara.

PAS mahu Umno dan BERSATU duduk bersama, pertahankan ummah. Bahkan PAS sedia terima siapa sahaja jika sekiranya mereka tinggalkan DAP yang telah banyak merosakkan negara dan menimbulkan risiko yang tidak sedikit walau hanya berkuasa selama 22 bulan tempoh hari.

Meskipun kadang-kadang Umno memberi contoh, jika PAS tidak boleh terima parti itu dan ini, maka begitu jugalah Umno tidak boleh menerima BERSATU. Sedangkan hakikatnya dua perkara itu amat jauh berbeza. BERSATU pada satu sudut, telahpun meninggalkan PH serta DAP untuk bersama membentuk kerajaan baharu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Manakala masih wujud beberapa parti yang masih taat setia kepada DAP. Mereka lebih DAP berbanding DAP itu sendiri. 

Luka PAS ditambah pula dengan kata-kata jahat melalui ‘mulut huduh’ oleh Ketua Penerangan Umno Kelantan yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh iaitu Dato’ Zawawi. Dengan penuh sombong beliau menggelarkan YB Tan Sri Presiden PAS, YB Naib Presiden PAS dan YAB Pengarah Pilihan Raya PAS sebagai tiga jahanam.

Huduh bukan kata-kata mereka? Itu tidaklah menjadi sesuatu yang aneh dan ajaib. Yang aneh adalah sikap terbuka PAS yang masih menganggap ‘tiada pembangkang’ dalam sidang DUN Kelantan.

Dan Kerajaan Kelantan masih mengekalkan semua keistimewaan, bajet serta dana negeri yang semuanya masih diturunkan kepada rakyat melalui semua ADUN Umno yang disebutkan di atas tadi meskipun mereka telah mengisytihar putus hubungan pada awal tahun ini. Aneh bukan?

Itulah dia sikap keterbukaan PAS dalam menangani isu keutuhan kuasa ummah di negara ini. Apa pun selamat bersidang semua tuan-tuan Yang Berhormat.

Salam hormat,

ANAS KARIMI AHMAD THANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -