Tok Guru adalah pemimpin, ayah dan murabbi kami

- Advertisement -

DARI tahun 90-an hampir setiap pagi Jumaat saya berdiri di tepi jalan hadapan SMAASZA menunggu bas untuk ke Rusila. Kerapnya tak perlu naik bas pun kerana ada saja hamba Allah yang juga nak ke Rusila berhenti ajak kami naik tak kira kereta atau motor. Sampai Rusila siap ajak makan lagi. 

Ada juga terserempak dengan cikgu. “Azman! Awak keluar lompat pagar?” “Tak cikgu. Saya keluar ikut pintu, tak lompat pagar!” Biasa cikgu ok saja sebab mereka pun tahu kami hanya ke Rusila dengar kuliah Tok Guru. 

- Advertisement -

Lepas kuliah, biasa saya tak balik. Duduk iktikaf dalam masjid sambil tunggu solat Jumaat dan hanya balik lepas solat Jumaat sebab khutbah dari Mimbar Masjid Rusila juga sesuatu yang dinanti. Ada ketika pusing Pasar Pagi Rusila tengok-tengok kaset ceramah. Zaman itu kaset ceramah antara yang laris dijual. CD belum ada lagi. 

Mengagumi kemampuan pidato Tok Guru, saya selalu bercita-cita nak jadi seorang pemidato hebat seperti beliau walau akhirnya tak kesampaian. Masa sekolah dulu ada juga tiru gaya Tok Guru. Bila dah dewasa saya lebih cenderung dengan nada ucapan yang sederhana, perlahan dengan tenang sepatah-sepatah. Tak mampu nak berpidato dengan penuh semangat seperti Tok Guru. 

Inilah budak yang selalu tumpang kereta motor mari Rusila dulu, bersila di lantai masjid dengar kuliah tanpa pernah mengimpikan untuk duduk sepentas dengan insan hebat ini.

Kehebatan Tok Guru sebagai pemimpin yang penuh sifat kebapaan, bila memberikan amanah dan tugas kepada kami anak-anak harakah, Tok Guru akan selalu panggil secara berkala. Tanya khabar, bagi taujihat, bincang serta pelbagai sokongan lagi menyebabkan kami rasa kuat dan dihargai. 

Sektor pertanian dan perikanan adalah antara favourite Tok Guru. Bait-bait buah fikiran Tok Guru berpijak di bumi nyata berdasarkan ibrah dan pengalaman di lapangan. Pagi ini rasa sangat berbesar hati bila Tok Guru dapat hadir menyantuni warga pekebun kecil kita.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -