Puan Loh pohon tukar agama anak-anaknya

- Advertisement -

ROSLAN SMS

TIDAK ada rakyat Malaysia yang beragama Islam apatah lagi yang waras boleh rasa tenang menerima berita ini. Menjelang Ramadan kita dikejutkan dengan berita pedih ini.

Pasti kita sebelum ini berdoa agar perkara ini tidak berlaku.

Umat Islam di Malaysia tidak akan sanggup melihat hak anak-anak yang telah Islam dicabar atau dipertikaikan di mahkamah. Ia cukup sensitif dan pasti boleh mencetuskan ketegangan.

- Advertisement -

Namun yang kita harapkan tidak menjadi. Portal berita TheStar (25 Mac) melaporkan bawah tajuk “Loh, ibu tunggal akan mencabar pengislaman tiga orang anaknya”.

Menurut laporan Loh telah memohon perintah semakan melalui Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pengislaman ketiga-tiga anaknya dilakukan tanpa izinnya.

Beliau telah menamakan Pendaftar Mualaf, Majlis Agama Islam Perlis, Mufti Perlis dan kerajaan negeri sebagai responden.

Beliau turut memohon perintah membatalkan pengislaman anak-anaknya yang telah disahkan oleh pendaftar pada 7 Julai 2020.

Beliau dilaporkan turut memohon agar anak-anaknya itu diisytiharkan penganut agama Hindu!

Kenapa Puan Loh perlu bertindak demikian? Siapakah penasihat-penasihatnya?

Isu rumahtangga beliau adalah isu peribadi antara beliau dan bekas suaminya tetapi anak-anaknya yang bertiga ini, dua kembar perempuan 14 tahun dan seorang lelaki 10 tahun telah diasuh dan dididik sebagai seorang Islam ketika Puan Loh dan suaminya berkrisis.

Dua anak perempuannya itu lengkap menutup aurat dan difahamkan boleh menghafaz sebahagian al Quran manakala anak lelakinya pula pernah menang pertandingan muazzin.

Mengapa perlu dibatalkan aqidah mereka sedangkan beliau telah pun berjaya perolehi hak penjagaan atas anak-anak yang tidak berdosa ini.

Mengapa tidak diambil jalan berunding yang lebih harmoni dalam negara kita yang kaya dengan budaya tolak ansur dan tradisi muafakat ini?

Mengapa perlu ambil langkah ekstrem, mencetus kemarahan rakyat sehingga mampu membakar emosi sesama masyarakat?

Puan Loh boleh sahaja ambil jalan damai. Saya yakin bukan hanya pihak berkuasa agama malah seluruh umat Islam sehingga pihak Istana pun pasti sanggup campurtangan jika jalan damai diambil.

roslan
Roslan SMS

Tetapi Puan Loh pilih untuk membatalkan aqidah anak-anaknya yang telah Islam itu untuk ditukar ke agama lain. Apakah Puan Loh tidak pernah memikirkan kesannya?

Jangan kerana benci dan marahkan suami Puan Loh sanggup menguris hati majoriti umat Islam di Malaysia.

Apakah penasihat-penasihat beliau mahu mengulangi Tragedi Natrah tahun 1950 dahulu?

Ya Allah selamatkanlah anak-anak yang tidak berdosa ini. – HARAKAHDAILY 27/3/2022

- Advertisement -