TBB jana pelaburan RM33 bilion dan 46,000 peluang kerja

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pembangunan industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara akan menghasilkan limpahan ekonomi dengan mewujudkan potensi nilai pelaburan berjumlah RM33 bilion dan mewujudkan lebih 46,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata unjuran yang dibuat oleh Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER) itu menyebabkan kementerian berusaha memastikan anak tempatan yang menceburi bidang TBB mempunyai kompetensi dan kemahiran teknikal.

- Advertisement -

Katanya, kementerian melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan pusat latihan kemahiran tempatan, bagi menyediakan kursus berkaitan reka bentuk dan pengoperasian sistem penjanaan TBB kepada mereka yang berminat.

“Antara kursus kemahiran teknikal yang disediakan termasuk reka bentuk sistem fotovolta tersambung grid bagi pendawai dan penjaga jentera elektrik, pemasangan dan penyelenggaraan fotovolta tersambung grid, reka bentuk sistem fotovolta luar grid dan pengoperasian penyelenggaraan janakuasa biogas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Dato’ Sri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan lisan asal Baling, katanya kementerian berusaha mencapai sasaran pengurangan kadar pelepasan karbon dioksida dalam sektor bekalan elektrik sebanyak 45 peratus pada 2030 dan 60 peratus pada 2035.

Takiyuddin berkata, kerajaan melalui MyRER telah menggariskan kerangka strategik bagi meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara.

Katanya, ini dilakukan melalui pelaksanaan empat tonggak berasaskan teknologi, iaitu solar, biotenaga, hidro dan sumber baharu.

“Pelaksanaan semua tonggak yang digariskan ini akan didukung oleh empat strategi pemangkin yang berperanan sebagai pemboleh daya ke arah usaha peningkatan kapasiti TBB negara serta pengurang pelepasan karbon dioksida,” katanya.

Beliau berkata, empat strategi pemangkin berkenaan ialah memanfaatkan peluang dalam pasaran bekalan elektrik, menambah baik akses kepada pembiayaan, pembentukan modal insan dan pembangunan infrastruktur dan peningkatan keanjalan sistem grid pembekalan elektrik. – HARAKAHDAILY 24/3/22

- Advertisement -