Rakyat mesti benar-benar faham pegangan ASWJ – Raja Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menitahkan agar setiap rakyat negeri ini benar-benar memahami pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berdasarkan dalil yang sahih daripada al-Quran dan al-Sunah.

- Advertisement -

Baginda bertitah semua kepimpinan utama, jentera pentadbiran kerajaan negeri, pegawai dan staf sokongan serta semua rakyat yang menetap dan bekerja di negeri Perlis hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengukuh dan memperteguhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Dalam melaksanakan ibadah dalam kehidupan seharian kita semua, pegangan negeri Perlis adalah tidak taksub kepada mana-mana mazhab fikah, tetapi sentiasa berusaha menepati al-Quran dan al-Sunah,” titah baginda ketika Majlis Perasmian Penutup Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Perlis di Dewan Warisan, malam tadi.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta barisan Exco Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah sehubungan itu, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis dan Agensi-agensi agama di dalam negeri Perlis hendaklah diperkasakan agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan agensi-agensi lain di negeri ini.

Baginda bertitah demi memastikan amalan kebaikan sentiasa diutamakan di negeri ini bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan Sunah, Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Perlis perlu  sentiasa membantu, memberikan panduan dan memberi bimbingan kepada rakyat yang berhasrat untuk mempelajari, membaca dan menghafaz al-Quran.

“Beta berharap agar rakyat negeri ini dapat meluangkan masa bagi mempelajari, membaca dan menghafaz al-Quran di mana sahaja berada. Kita semua perlu meyakini bahawa faedah semua amalan kebaikan ini,” titah baginda. – BERNAMA

- Advertisement -