JAKIM pantau tiga beradik mualaf menerusi MAIK

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) sentiasa memantau perkembangan tiga beradik mualaf yang kini berada di bawah jagaan ibu kandung mereka di Sungai Petani, Kedah.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pemantauan MAIK mendapati semua urusan berjalan lancar dan tiada isu berbangkit membabitkan mereka iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

“Pihak majlis agama Islam negeri menjalankan pemantauan terhadap tiga beradik itu dan perkembangannya dimaklumkan kepada kami di JAKIM, setakat ini tiada isu atau isu berbangkit timbul membabitkan mereka.

“Pemantauan terhadap tiga beradik itu dibuat mengikut beberapa resolusi yang telah digariskan oleh majlis agama Islam negeri dan pakar undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Multaqa Murabbi Ummah peringkat Pulau Pinang, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan tiga beradik itu yang kini dalam jagaan ibu mereka Loh Siew Hong yang beragama Hindu.

Pada 21 Februari lepas, tiga beradik yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan serta-merta kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Sementara itu, Sirajuddin berkata JAKIM sedang memperhalusi beberapa prosedur operasi standard (SOP) berhubung aktiviti dan program di surau serta masjid seluruh negara ketika Ramadan dan Aidilfitiri ini.

Katanya, berdasarkan perbincangan awal pihaknya, antara SOP yang akan diperinci membabitkan kebenaran qiamullail dan program tazkirah sepanjang Ramadan dan ia kemudiannya akan diumumkan oleh pihak berkuasa agama negeri untuk dilaksanakan di negeri-negeri. – BERNAMA

- Advertisement -