Patuh SOP elak Aidilfitri tidak dapat disambut

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Bagi mengelakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak berulang seperti dua tahun lepas, umat Islam hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Ini kerana sudah dua tahun umat Islam di negara ini tidak meraikan Aidilfitri sebagaimana lazimnya.

- Advertisement -

Timbalan Mufti Kelantan Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohammad berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan wabak Covid-19 menular semula.

Katanya, walaupun Kelantan sekarang berada fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun ia bukan tiket untuk orang ramai mengambil mudah mengabaikan SOP.

“Wabak Covid-19 masih melanda negara termasuk di Kelantan. Kes harian masih lagi tinggi biarpun berlaku penurunan.

“Jadi untuk membolehkan kita menyambut bulan Ramadan dan solat tarawih, kita mesti menjaga SOP dari sekarang,” katanya selepas majlis solat hajat peperiksaan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Bustanus Saadah, dekat sini hari ini.

Terdahulu beliau mengimamkan solat sunat Dhuha dan hajat yang diadakan di masjid sekolah berkenaan.

Turut hadir Mudir sekolah berkenaan Wan Fakhrulrazi Wan Mahmood dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Rosli Che Soh.

Nik Abdul Kadir juga berkata, pematuhan terhadap SOP penting bagi memutuskan rantaian Covid-19. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -