Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini menetapkan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia adalah RM7,800.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata jumlah kos itu adalah RM6,000 bagi pihak Malaysia dan RM1,800 adalah kos bagi pihak Indonesia.
Katanya, orang ramai boleh membuat laporan kepada kerajaan jika ada agensi pekerja asing mengenakan bayaran melebihi kadar yang ditetapkan.
“Kos yang dipersetujui ialah RM7,800. Jika ada yang yang `charge’ (kenakan bayaran) lebih tinggi, boleh buat laporan untuk tindakan,” katanya menjawab soalan tambahan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam soalan tambahannya, Kasthuriraani berkata, ada agensi pekerja asing mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM30,000 untuk mendapatkan pekerja domestik Indonesia.
Menjawab soalan lisan asal, Awang berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember tahun lalu, bersetuju supaya pengambilan pekerja asing warga Bangladesh dilakukan menerusi 275 agensi pekerjaan Bangladesh.
Dari segi tindakan kerajaan bagi mencegah rasuah dan eksploitasi serta mengawal kemasukan pekerja migran ke Malaysia, katanya ini dilakukan melalui MoU berhubung penggajian pekerja asing dengan negara sumber.
“MoU dapat mengawal selia proses pengambilan, penempatan dan penggajian pekerja asing agar lebih teratur, serta mematuhi undang-undang, peraturan dan dasar sedia ada negara.
“Di samping itu, MoU bertujuan memberi perlindungan sewajarnya dari segi hak dan kebajikan pekerja serta menjaga kepentingan majikan,” katanya.
Awang berkata, MoU juga bertujuan membanteras sindiket yang memonopoli, mengeksploitasi dan mengawal kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
Katanya, hanya agensi pekerjaan swasta yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) dibenarkan membantu majikan menguruskan segala urusan penempatan pekerja asing di negara ini. – HARAKAHDAILY 23/3/22