MALMO, Sweden: Seorang pelajar sekolah menengah berusia 18 tahun telah ditahan pihak polis di sini pada Selasa (22 Mac) atas dakwaan membunuh dua orang guru di sekolahnya sehari sebelum itu.
Pihak polis Sweden berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan wanita dalam lingkungan 50-an, adalah guru di Malmo Latin, sebuah sekolah tinggi seni kreatif dengan lebih 1,000 pelajar di bandar ketiga terbesar di Sweden.
Laporan media tempatan berkata, suspek yang namanya belum didedahkan, bersenjatakan pisau dan kapak, walaupun polis tidak mengesahkan maklumat itu.
Ketua polis, Petra Stenkula berkata, pihaknya telah merampas ‘beberapa senjata yang bukan senjata api’ di lokasi kejadian.
Siasatan polis kini cuba menentukan sama ada suspek secara khusus menyasarkan mangsanya atau memilih mereka secara rawak, dan sama ada dia telah merancang untuk menyerang lebih ramai orang.
“Kami belum tahu sama ada dia mempunyai sebarang kaitan dengan kedua-dua mangsa. Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah,” kata Stenkula sambil menambah bahawa polis sedang meneliti latar belakang dan pergerakannya sebelum serangan itu.
Menurutnya lagi, pihak polis turut menggeledah rumah suspek di bandar berdekatan Trelleborg pada Selasa.
Polis dimaklumkan mengenai serangan itu pada 5.12 petang (waktu tempaan) dan peronda pertama dapat memasuki sekolah beberapa minit kemudian.
Kira-kira 50 pelajar dan guru berada di dalam sekolah berkenaan ketika itu, dan rakaman berita menunjukkan polis yang lengkap bersenjata sedang memeriksa bahagian dalam bangunan itu.
“Suspek telah ditangkap di tingkat tiga sekolah hanya 10 minit selepas amaran pertama, dan dia tidak memberikan sebarang tentangan. Dua mangsanya terbaring di atas lantai berhampiran,” ujarnya sambil berkata, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan tetapi kematian mereka diumumkan lewat petang Selasa.
Menurut akhbar harian Sweden, Aftonbladet, penyerang yang didakwa menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk memberitahu di mana dia berada dan dia telah meletakkan senjatanya, dan mengaku melakukan pembunuhan itu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson pada Selasa menyatakan ‘kesedihan’ dan ‘kebimbangan’ susulan kejadian itu.
Pihak berkuasa tempatan berkata, di sekolah tinggi berkenaan yang ditutup pada Selasa dengan bendera Sweden berkibar separuh tiang, kumpulan sokongan telah ditubuhkan untuk guru dan pelajar.
“Semua orang sangat terkejut dan sedih,” kata seorang guru di sekolah itu yang tidak mahu dikenali kepada AFP pada Selasa.
“Ia satu jenayah yang mengerikan, mustahil untuk menerima semuanya”, katanya, berdiri di luar sekolah di mana sekumpulan kira-kira 20 pelajar berdiri berpelukan dan menangis.
Salah seorang pelajar berkata, Lydia Croberg, 18, apa yang telah berlaku itu sangat menyedihkan. “
“Tiada yang sangka kejadian tragis itu berlaku di sini, di tempat di mana saya dan ramai pelajar lain berasa paling selamat. Ini sekolah yang mesra dan penyayang.
“Ia tidak seperti dahulu … Sukar untuk kembali, untuk mengadakan upacara peringatan. Kami akan mengambilnya satu hari demi satu”, luahnya.
Serangan sekolah agak jarang berlaku di Sweden, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin terbiasa dengan tembakan dan pengeboman di penempatan dunia bawah tanah yang membunuh berpuluh-puluh orang setiap tahun.
Beberapa insiden serangan serius sebenarnya telah berlaku di sekolah-sekolah di selatan Sweden dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada Januari tahun ini, seorang remaja berusia 16 tahun telah ditahan selepas mencederakan seorang pelajar lain dan seorang guru dengan pisau di sebuah sekolah di bandar kecil Kristianstad.
Kejadian itu dikaitkan dengan serangan pisau pada Ogos 2021 di bandar Eslov, apabila seorang pelajar sekolah menyerang seorang pekerja sekolah berusia 45 tahun. – AFP