Pulau Pinang tidak hargai usaha Kedah jaga sumber air

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah gamat apabila penyokong kerajaan membangkitkan isu bayaran caj penggunaan sumber air oleh kerajaan Pulau Pinang.

Hanif Ghazali (PAS-Tanjung Dawai) berkata, Kedah sanggup berkorban apa sahaja bagi membantu Pulau Pinang mendapatkan sumber air, namun pengorbanan itu tidak dihargai.

Katanya tuntutan yang dibuat kerajaan Kedah sebelum ini tidak diendahkan Pulau Pinang.

“Mungkin dengan kata dua pada persidangan Dun kemungkinan Pulau Pinang akan lebih serius untuk membuat keputusan.

- Advertisement -

“Lagi pun caj sebanyak RM100 juta menyamai nilai pajakan Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada perbahasan usul menjunjung kasih Titah Sultan Kedah pada persidangan Dun semalam.

Sebelum ini Kedah mengemuka tuntutan secara bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah RM50 juta setahun dengan mengambil kira Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Namun, kerajaan Pulau Pinang tidak melayan tuntutan tersebut menyebabkan Kedah melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan terbabit.

Kerajaan Pulau Pinang juga sebelum ini berminat mendapatkan sumber air daripada Perak bagi menampung keperluan bekalan air di negeri itu.

Bagaimanapun Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dilapor berkata, negeri itu tidak mampu untuk memenuhi permintaan Pulau Pinang bagi membekalkan air mentah ke negeri tersebut disebabkan keperluan domestik tidak mencukupi.

Hanif juga bersetuju cadangan Mohd Azam Abdul Samat (PAS-Sungai Limau) supaya kerajaan Pulau Pinang diberi kata dua sama ada menunaikan tuntutan RM50 juta atau RM100 juta setahun,

Mohd Azam ketika mencelah ucapan Hanif mencadangkan Pulau Pinang diberi kata dua berikutan kedegilan menunaikan tuntutan Kedah berkaitan caj air mentah.

“Tuntutan tersebut bukan semata-mata dari rakyat atau Dun, malah telah dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Kedah ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum ini.

“Bukti dokumen Pulau Pinang milik Kedah juga diserah kepada kerajaan Persekutuan. Jadi wajar Kedah dibayar nilai yang sepatutnya,” ujarnya.

Menurutnya juga berdasar laporan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Pulau Pinang memiliki simpanan air sebanyak 30 peratus berbanding Kedah hanya 2.3 peratus.

“Pulau Pinang juga tidak pernah membantu Kedah untuk mengekalkan sumber bekalan air supaya terjamin pada masa depa,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 23/3/2022