Keputusan PRN Johor jadi pemangkin hadapi PRU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Johor reda dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Pesuruhjayanya, Ustaz Abdullah Husin.

Beliau berharap keputusan itu akan menjadi pemangkin untuk terus bersemangat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan seterusnya beristiqamah hingga kemenangan.

“Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT di atas apa jua keadaan,” ujarnya dalam kenyataan.

- Advertisement -

Katanya, PAS Johor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PAS Pusat yang telah memberi kepercayaan kepada PAS negeri bagi menyertai PRN kali ini atas tiket Perikatan Nasional.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan berbanyak terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PAS dan Perikatan Nasional Johor dan negeri-negeri yang bertungkus lumus membantu dan melaksanakan tanggungjawab.

Tambahnya, keputusan PRN Johor kali ke-15 yang telah diumumkan itu adalah satu permulaan bagi Perikatan Nasional negeri ke arah pencapaian yang lebih baik untuk seterusnya.

“Tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua pengundi Perikatan Nasional PRN Johor.

“Semoga terus beristiqamah dalam membawa wadah ini,” ujarnya yang bertanding di DUN Pulai Sebatang.

Ustaz Abdullah turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang banyak membuat liputan seperti TV3, TV Pertiwi, Harakah, Media Fastaqim dan lain-lain.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi N.54 Pulai Sebatang dan jentera Perikatan Nasional yang telah berkorban masa, tenaga, wang, fikiran dalam menjayakan PRN kali.  

“Walaupun peratus undi rendah namun ianya memberi satu mesej buat kita. Kita telah berusaha sebaik mungkin, Allah yang menentukan segalanya,” katanya.

“Semoga Allah memberkati petugas-petugas dan sahabat-sahabat. Allah jua yang dapat memberikan ganjaran yang berlipat ganda kepada semua.

“Marilah kita meneruskan perjuangan yang masih panjang. Semoga suatu hari nanti Allah memberikan kemenangan yang besar kepada kita,” ujarnya lagi.

Pada PRN yang berlangsung Sabtu lalu, Perikatan Nasional memenangi tiga DUN iaitu Endau, Maharani dan Bukit Kepong. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

- Advertisement -