Keganasan di perlawanan bola sepak Maghribi: 160 ditahan,100 polis cedera

- Advertisement -

RABAT: Kira-kira 160 individu, sebahagiannya membawa pisau dan batu, ditahan pada sebuah perlawanan bola sepak Maghribi pada Ahad (13 Mac) dalam keganasan yang menyebabkan lebih 100 anggota polis cedera.

Direktorat Am Keselamatan Negara (DGSN) Maghribi dalam satu kenyataan berkata, penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak berkenaan, termasuk 90 remaja, telah diberkas kerana didakwa terlibat dalam tindakan keganasan kerana memiliki pisau, mabuk, membaling batu, serta menyebabkan kerosakan dan membakar kenderaan polis dan orang awam.

- Advertisement -

Keganasan meletus semasa perlawanan bagi merebut Piala Takhta antara kelab Angkatan Tentera Maghribi, AS FAR yang berpangkalan di sini dengan kelab Maghreb de Fez (MAS) di stadium Moulay-Abdallah.

Media tempatan melaporkan, dalam perlawanan itu, AS FAR dikalahkan 2-0 dan penyokong ultra pasukan itu lantas menyerang  penyokong pasukan saingan.

Sehubungan itu, polis yang cuba mententeramkan keadaan, namun DGSN melaporkan 103 polis dan 57 penyokong bola sepak telah mengalami kecederaan.

“Pada peringkat siasatan ini, banyak kerosakan kemudahan di stadium Moulay-Abdallah telah direkodkan. Sebuah motosikal dibakar dan 33 buah kenderaan polis dan orang awam  turut mengalami kerosakan,” tambah DGSN.

Persekutuan bola sepak Maghribi akan mengadakan mesyuarat tergempar pada minggu depan untuk membincangkan tentang  keganasan berkenaan dan sekatan atau hukuman  yang dijangkakan susulan keganasan itu.

Dua penyokong bola sepak maut dalam insiden keganasan antara penyokong pasukan bola sepak di Maghribi pada awal tahun 2016. (FOTO AFP)

Insiden keganasan di perlawanan bola sepak itu  yang pertama sejak peminat dibenarkan kembali ke stadium atau padang bola sepak pada penghujung Februari selepas dua tahun ditutup susulan pandemik Covid-19.

Stadium bola sepak di Maghribi sememangnya sering menjadi tempat tercetusnya keganasan antara penyokong sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pergaduhan kerap berlaku antara peminat dua kelab Casablanca terkemuka negara, Wydad dan Raja, yang merebak sehingga di luar stadium.

Selepas dua penyokong maut dalam keganasan antara penyokong bola sepak pada awal tahun 2016, pihak berkuasa Maghribi telah membubarkan kumpulan-kumpulan penyokong ultras (persatuan peminat bola sepak yang terkenal dengan sokongan fanatik), malah mengharamkan slogan dan sepanduk dibawa ke dalam stadium.

Walau bagaimanapun, kumpulan-kumpulan ultra telah dibenarkan kembali ke stadium perlawanan bola sepak menjelang Mac 2018. – Arab News

- Advertisement -