Isu politik semasa mesti dilihat dari perspektif Islam

- Advertisement -

TELUK INTAN: Gerak kerja di medan politik mestilah berada dari kerangka yang telah ditetapkan oleh syariat, kerana politik Islam bermatlamatkan ukhrawi dan merupakan landasan untuk pembinaan sebuah negara Islam.

Pengerusi Assabiqun Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik berkata demikian dalam program Forum Memahami Isu Politik Semasa Menurut Islam anjuran Sidang Assabiqun PAS Negeri Perak di Kompleks PAS Teluk Intan baru-baru ini.

- Advertisement -

Dalam forum tersebut Ustaz Mokhtar Senik sebagai jemputan utama telah menekankan tiga perkara ketika menghuraikan konsep dan matlamat politik Islam yang sebenarnya.

“Pertama, politik Islam dijalankan dengan tujuan untuk memantap dan menyebar luas akidah Islam dikalangan umat manusia. Dengan adanya sebuah pemerintahan dan negara Islam, maka segala usaha meninggikan kalimat Allah dan perlaksanaan sepenuhnya hukum syariat Islam dapat direalisasikan.

“Kedua, politik Islam bertujuan untuk menjaga kemaslahatan ummah melalui perlaksanaan kerja-kerja kebajikan. Melalui kepimpinan politik yang berlandaskan Islam, segala harta dan sumber negara akan diagihkan secara adil kepada golongan yang layak dan berhak menerimanya,” ujar beliau.

Menjelaskan konsep pelaksanaan politik Islam yang ketiga, Ustaz Mokhtar menekankan bahawa politik Islam seharusnya mengamalkan kaedah politik damai dan sejahtera.

Dalam pada itu, ahli panel kedua forum tersebut, Ustaz Ibrahim Zakaria pula telah mengupas persoalan berkaitan  perbalahan yang sering berlaku dikalangan para ilmuan Islam di negara ini.

Menurutnya yang merupakan Ketua Ulamak PAS Perak itu, punca masalah ini adalah kerana tiadanya usaha penyucian jiwa, sifat tawaduk dan rendah diri di kalangan sebahagian dari mereka. 

“Kerana itu bila ada perbezaan dari sudut pemahaman terhadap sesuatu isu berkaitan agama, maka masing-masing bertelagah dan mempertahankan pendapat sendiri demi menjaga nama baik dan menonjolkan keilmuan masing-masing.

“Akibatnya masyarakat awam turut berpecah dan memandang rendah institusi agama dan golongan ulamak,” katanya lanjut. 

Forum yang turut disiarkan secara langsung di Facebook PAS Teluk Intan ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Mohd Azhar Rafie dan Pengerusi Sidang Assabiqun Teluk Intan, Ismail Che Nik. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

- Advertisement -