Gaji minimum dilaksanakan dalam tempoh terdekat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu dalam tempoh terdekat dan bukan pada akhir tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata ini berikutan situasi ekonomi negara pada masa ini dilihat bertambah baik dan kebanyakan perniagaan berkembang serta menunjukkan trend pemulihan.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan mengambil maklum permintaan beberapa pihak untuk menyegerakan pelaksanaan gaji minimum baharu kepada kadar yang lebih tinggi berikutan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Namun begitu, kadar gaji minimum baharu hanya akan dilaksanakan dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan majikan,” katanya menjawab soalan lisan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kulasegaran meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan sebab-sebab kerajaan bercadang untuk melaksanakan kadar gaji minimum pada sekitar RM1,500 pada akhir tahun ini dan bukan melaksanakan dengan segera.

Saravanan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat tahun 2021. Peningkatan ini dapat dicapai dengan bantuan kewangan kerajaan kepada pihak majikan bagi meneruskan operasi perniagaan serta mengekalkan pekerja.

Berdasarkan unjuran dalam dokumen Belanjawan 2022, katanya prestasi ekonomi dijangka akan berkembang pada kadar 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun 2022.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa peningkatan kadar gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat bagi menjamin kelangsungan operasi syarikat dan memastikan pekerjaan pekerja dapat dikekalkan.

“Peningkatan kadar gaji minimum yang terlalu tinggi dan drastik boleh menjejaskan daya saing negara menyebabkan pasaran buruh negara akan berdepan dengan cabaran untuk mencipta pekerjaan baharu yang berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

- Advertisement -