DesaMall@KPLB bantu usahawan luar bandar terokai ekonomi digital

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Program DesaMall@KPLB yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-Dagang dengan pantas dan mudah.

Timbalan Menterinya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, berkata program ini menjadi pendorong anjakan paradigma kepada usahawan luar bandar untuk beralih dari cara perniagaan tradisional kepada memasarkan produk secara dalam talian melalui platform digital.

- Advertisement -

Secara tidak langsung, katanya usaha ini dapat merakyatkan ekonomi digital di kalangan usahawan luar bandar.

“Sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2017, jumlah jualan terkumpul produk adalah berjumlah RM3.31 juta setakat 31 Disember 2021 dengan Stock Keeping Unit sebanyak 26,941 di platform e-Dagang seperti Shopee, Lazada dan lain-lain.

“Seramai 2,985 usahawan luar bandar dilatih di bawah program DesaMall@KPLB dan telah memasarkan produk secara dalam talian di platform e-Dagang. Daripada jumlah itu, seramai 2,404 atau 80.5 peratus usahawan wanita luar bandar mendapat manfaat daripada program ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan usaha kementerian bagi meningkatkan pendapatan usahawan wanita luar bandar.

Abdul Rahman berkata, kementerian sentiasa komited membantu usahawan luar bandar, termasuk usahawan wanita dengan menawarkan program seperti Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start.

Menurutnya, program ini menyediakan geran bantuan bernilai antara RM3,000 ke RM5,000 bagi menampung kos operasi dan keperluan modal pusingan untuk membantu usahawan memulakan semula perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, program khusus yang bermula pada September tahun lalu dan sehingga kini, berjaya membantu 586 orang usahawan sehingga kini dengan 319 usahawan atau 76 peratus daripada mereka adalah usahawan wanita dengan nilai geran sebanyak RM2.97 juta.

“Tahun ini, peruntukan sebanyak RM15.3 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM4.3 juta berbanding tahun sebelumnya, KPLB dan juga agensi telah merencanakan beberapa program secara menyeluruh bagi membantu usahawan meningkatkan taraf hidup ekonomi mereka.

“Program berkenaan termasuk Program Rural Bussiness Challenge 2.0 (RBC 2.0), Program Usahawan Bergerak, Rural Bussiness Outlet, Program SPKLB, dan juga Program Outreach Usahawan @ KPLB,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

- Advertisement -