Gempa bumi kuat dasar laut gegar Indonesia, Malaysia

Tanda bulatan biru menunjukkan kedudukan gempa bumi di barat Sumatera pada Isnin, 14 Mac 2022. (FOTO USGS/Stuff).
- Advertisement -

JAKARTA: Gempa bumi dasar laut yang kuat menggegarkan barat Indonesia pada Isnin (14 Mac) tetapi tiada kerosakan serius dilaporkan serta-merta dan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Kenyataan daripada US Geological Survey (USGS) berkata, gempa bumi berukuran 6.6 magnitud itu berpusat pada kedalaman 16 kilometer (9.9 batu), kira-kira 169 kilometer (104.8 batu) di barat Pariaman, sebuah bandar di wilayah Sumatera Barat.

- Advertisement -

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia dalam kenyataannya pula berkata, gempa itu dirasai di banyak bahagian wilayah itu tetapi tiada bahaya tsunami. 

“Ia berlaku sejurus sebelum subuh dan berpusat kira-kira 161 kilometer (100 batu) tenggara Nias Selatan, sebuah daerah di wilayah Sumatera Utara,” ujar kenyataan tersebut.

Sementara, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi berkenaan turut dirasai di Malaysia.

“Gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan penilaian awal, gempa bumi berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Indonesia merupakan sebuah kepulauan yang luas dengan 271 juta orang, sering dilanda gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Gempa bumi berukuran 6.2 menggegarkan wilayah Sumatera Barat pada bulan lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan lebih 400 penduduk. Beribu-ribu rumah dan bangunan lain rosak akibat gegaran yang dirasai sejauh Malaysia dan Singapura. – AP

- Advertisement -