WDS 2022 anjur program pemerkasaan wanita Saudi dalam sektor pertahanan

Puteri Reema (tengah) ketika hadir dalam Program Wanita dalam Pertahanan bersempena Pameran Pertahanan Dunia (WDS) 2022 di Riyadh, Arab Saudi pada 9 Mac 2022. (FOTO Saudi Prees Agency/mod.gov.sa)
- Advertisement -

RIYADH: Pameran Pertahanan Dunia (WDS) 2022 telah menganjurkan ‘Program Wanita dalam Pertahanan’, yang bertujuan untuk mempromosi dan memperkasakan penyertaan golongan wanita di Arab Saudi dalam sektor pertahanan.

Program itu diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti edisi pertama WDS, yang diadakan di Riyadh dari 6 hingga 9 Mac 2022.

- Advertisement -

Program pada hari keempat WDS 2022 pada Rabu (9 Mac) itu menyaksikan penyertaan Duta Arab Saudi di  Amerika Syarikat, Puteri Reema binti Bandar bin Sultan bin Abdulaziz Al Saud; Ketua Pegawai Eksekutif General Dynamics, Phebe Novakovic; dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rolls-Royce Amerika Utara, Marion Blakey.

Puteri Reema dalam ucap utamanya berkata, pemerkasaan wanita Saudi adalah salah satu matlamat utama Wawasan Kerajaan 2030 Arab Saudi. 

“Momentum itu perlu diteruskan di peringkat global dan Program Wanita dalam Pertahanan dalam WDS 2022  menyediakan platform dan peluang unik untuk membina kejayaan ini,” tegasnya. 

Sementara itu, Ketua Program Wanita dalam Pertahanan WDS 2022, Penny McPherson berkata bahawa penganjuran WDS tersebut adalah tepat pada masanya buat kerajaan Saudi dan industri pertahanan global.

“Ini menunjukkan bahawa penyertaan wanita dari seluruh dunia akan meningkatkan kemajuan  golongan wanita di peringkat tempatan dan global dalam sektor pertahanan,” ujarnya.

Program Wanita dalam Pertahanan menjadi tuan rumah penceramah terkemuka dan satu siri seminar, menyediakan platform yang ideal untuk perbincangan dan kerjasama mengenai pembangunan inisiatif untuk meningkatkan peranan wanita dalam sektor pertahanan. – Saudi Press Agency

- Advertisement -