PAS Labuan bantah cadangan bina kasino

Sokong usaha bangun ekonomi, tapi tidak boleh ada unsur judi, arak dan kelalaian

- Advertisement -

PAS Kawasan Labuan menyokong penuh sebarang cadangan pembangunan ekonomi yang bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat Labuan tetapi tidak boleh ada unsur judi, arak dan sebagainya yang boleh melalaikan dan merosakkan akhlak terutamanya anak-anak muda.

Merujuk kepada perkara yang telah diterbitkan dalam akhbar Daily Express bertarikh 1 Mac 2022, ada cadangan perancangan untuk menjadikan Pulau Papan sebagai pusat kasino, PAS Labuan membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha dari mana-mana pihak untuk membina kasino di mana-mana lokasi di Wilayah Persekutuan Labuan mahupun di pulau-pulau berdekatan.

- Advertisement -

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP pun pernah menolak cadangan untuk membina kasino di negeri berkenaan. Ini menunjukkan bahawa kasino boleh membawa implikasi kerosakan besar dan negatif terhadap keharmonian sosial. 

PAS Labuan menyeru seluruh masyarakat Labuan tanpa mengira latar agama dan bangsa untuk bersama-sama membantah usaha membawa masuk unsur yang berpotensi menimbulkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

PAS Labuan juga menyeru individu-individu, badan-badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik, organisasi masyarakat segenap peringkat sama ada di Wilayah Persekutuan Labuan mahupun di seluruh negara untuk bersama-sama menyatakan bantahan keras melalui pelbagai saluran yang ada.

Bantahan ini wajar dibuat disebabkan beberapa perkara yang boleh membawa kesan buruk hasil dari industri judi dan arak kepada masyarakat. Antaranya:

(i) Keruntuhan akhlak dan moral terutamanya golongan remaja dan belia,

(ii) Keruntuhan institusi kekeluargaan akibat judi,

(iii) Membuka jalan kepada kegiatan haram seperti dadah, pekerja asing tanpa permit dan lain-lain lagi,

(iv) Keuntungan besar hanya bertumpu kepada pihak-pihak tertentu sahaja, bukan masyarakat terbanyak,

(v) Membuka jalan pencerobohan perairan daripada kegiatan haram yang berisiko tinggi.

Oleh itu PAS Labuan ingin mengutarakan beberapa cadangan pembangunan ekonomi bagi Wilayah Persekutuan Labuan, antaranya:

(i) Taman Tema Air,
(ii) Zoo Mini,
(iii) Hospital berkonsepkan pelancongan perubatan (medical tourism),
(iv) Taman Tamadun dan Budaya,
(v) Taman rumah-rumah tradisional,
(vi) Pelancongan Marin,
(vii) Pusat Pelancongan Sukan.

PAS Labuan yakin bahawa cadangan-cadangan di atas lebih menguntungkan ramai pihak dan masyarakat tempatan Labuan dari segi kesan positif limpahan ekonomi dan tidak bersikap eksklusif dan memihak kepada golongan tertentu sahaja.

Oleh itu, besar harapan PAS Labuan agar pihak berkuasa Labuan dan pihak kementerian yang bertanggungjawab mendahulukan masyarakat Labuan dalam segala perancangan pembangunan ekonomi, terutama kesan baik dan buruk terhadap kehidupan sosial rakyat serta hasil keuntungan yang boleh dinikmati oleh rakyat terbanyak.

HAJI HAMIR HAJI ZAHARI
Yang Dipertua 
PAS Kawasan Labuan – HARAKAHDAILY 10/3/2022

- Advertisement -