Populariti media sosial beransur pudar

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

MUAR:
Era populariti media sosial yang menghidang maklumat di hujung jari pada era teknologi maklumat, kini beransur pudar kerana dicemari maklumat palsu yang semakin menjadi-jadi.

Bekas Pengarah Jawatankuasa Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri Mohamad Fuad Abdul Rahman berkata, situasi itu memberi ruang kepada orang ramai kembali menonton televisyen.

- Advertisement -

Katanya peningkatan semula jumlah penonton membolehkan stesen televisyen swasta kembali meraihkan keuntungan selepas berdepan era suram sebelum ini.

“Sekarang orang ramai semakin hilang kepercayaan kepada media sosial kerana dicemari maklumat-maklumat palsu,” katanya pada bengkel strategik anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kelantan di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Besar Mohd Asri Mat Daud, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yusof dan Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Ahmad Fathan Mahmood.

Mohd Fuad yang juga bekas wartawan kanan Utusan Malaysia berkata, pemimpin kerajaan negeri dicadang menjalin hubungan lebih rapat dengan editor kanan media bagi mewujudkan hubungan dua hala.

“Begitu juga kalau boleh diadakan segmen siaran secara langsung melalui radio bagi menjawab isu-isu yang dibangkit rakyat, tentunya akan mendapat tempat dalam masyarakat,” ujarnya.

Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat Zukri Ahmad pula berkata, pemimpin politik hendaklah memberi respon segera terhadap sesuatu isu yang timbul bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan memaparkan info tidak berasas di media sosial. – HARAKAHDAILY 7/3/2022

- Advertisement -