RM10 juta naik taraf tandas rumah ibadat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) membelanjakan RM10 juta bagi menaik taraf dan pembaikan segera fasilitasi tandas di 485 rumah ibadah pelbagai agama di seluruh negara.

Menterinya Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif yang bermula pada April 2021 itu dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurutnya, projek yang diuruskan oleh Indah Water Konsortium (IWK) itu bagi memastikan sistem pembentungan rumah ibadah lebih mesra alam dengan pengurusan air dan sistem kubahan teratur.

- Advertisement -

“Projek fasa satu bagi tahun ini menelan belanjan RM10 juta melalui dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembentangan (KWSMP) SPAN dengan kos purata setiap rumah ibadat antara RM20,000 hingga RM30,000.

“Fokus kita untuk melestarikan sistem pembentungan sehingga kini sebanyak 407 projek sudah dibaiki sehingga Februari lalu dan 78 bakinya dijangka siap dalam Mei 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik Taraf Fasiliti Tandas Rumah Ibadat di Madrasah Haji Junoh Kampung Paya Keranji di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Dato’ Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water (IWK) Sdn Bhd, Narendran Maniam.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, inisiatif sama akan diteruskan selepas fasa pertama berakhir pada Mei depan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta.

Kata beliau pihak SPAN sudah mengenal pasti lokasi terbabit yang dilaksanakan oleh kontraktor berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Binaan dan pemilik C4 SPAN.

“Kita akan peruntukan untuk fasa dua dalam RM20 juta sebab sebelum ini RM10 juta yang akan melibatkan banyak lagi rumah ibadat seluruh negara yang memerlukan tambah baik.

“Di samping melestarikan alam sekitar, ia adalah usaha kerajaan dalam usaha membantu dan menyantuni rakyat tanpa mengira agama, meningkatkan ekonomi setempat selaras dengan Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2022