Perdana Menteri Korea Selatan positif Covid-19

- Advertisement -

SEOUL: Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Boo-kyum disahkan positif  Covid-19 pada Khamis (3 Mac), ketika jangkitan harian di negara itu mencecah paras yang belum pernah terjadi sebelumnya pada minggu ini, didorong oleh penyebaran varian Omicron yang sangat mudah menular.

Menurut kenyataan seorang pegawai ibu pejabatnya di sini, Kim telah mengemudi usaha anti-virus, mengadakan pertemuan tetap dengan pegawai dan pakar, dan melawat kemudahan perubatan dan pendidikan untuk memeriksa kerja kuarantin dan mempromosikan vaksinasi.

- Advertisement -

“Perdana Menteri telah  mengalami sedikit batuk pada  pagi ini tetapi kini hanya mengalami simptom selsema ringan.

“Beliau sudah  mula menerima rawatan di kediamannya dan mesyuarat anti-virus intra-agensi akan diketuai sementara oleh wakilnya.” ujar kenyataan tersebut.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KDCA) melaporkan 198,803 kes baharu COVID-19 setakat tengah malam Rabu (23 Feb), sehari selepas jumlah jangkitan baharu harian mencecah rekod 219,241 kes.

Kematian harian juga meningkat kepada rekod 128 kes, dengan jumlah keseluruhan 8,394, dan kes serius meningkat kepada 766, berbanding kira-kira 300 dua minggu lalu.

Korea Selatan sebelum ini hanya mencatat jangkitan Covid-19 sebanyak 3,691,488 dalam kalangan 52 juta penduduknya dan kadar kematian akibat virus tersebut juga agak rendah.

Namun, pihak berkuasa kesihatan negara itu  menganggarkan gelombang jangkitan semasa  Covid-19 di Korea Selatan  akan berterusan dan memuncak pada kira-kira 330,000 kes harian menjelang pertengahan Mac ini. – Reuters

- Advertisement -