Perdana Menteri tinjau keadaan banjir di Kelantan, Terengganu esok

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, akan melawat Terengganu dan Kelantan, esok untuk meninjau suasana banjir di kedua-dua negeri berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata Perdana Menteri juga dijangka mengumumkan bantuan kepada mangsa terlibat.

- Advertisement -

Pagi ini, katanya Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Pengurusan Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang membincangkan situasi semasa banjir di Pantai Timur.

Setakat jam 8 pagi hari ini, katanya jumlah keseluruhan pemindahan adalah seramai 25,367 orang melibatkan 7,040 keluarga di Kelantan dan Terengganu.

Bagi menghadapi banjir, katanya semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri yang terlibat bersiap siaga untuk menjalankan operasi menyelamat dan pengurusan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebaik menerima amaran hujan berterusan daripada MET Malaysia.

“Antara langkah drastik kerajaan ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan bermula 23 Februari lalu kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah (JPBD) serta agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hassan meminta kerajaan menyatakan langkah drastik yang diambil bagi menangani musibah banjir yang melanda negeri Pantai Timur ketika ini.

Dr Abdul Latiff berkata, notis kesiapsiagaan dikemas kini dari semasa ke semasa berdasarkan amaran cuaca terkini daripada MET Malaysia.

Bermula 26 Februari lalu, katanya Mesyuarat PKOB Pusat diadakan secara harian bagi mendapatkan situasi semasa keadaan banjir di lapangan serta mengenal pasti sebarang isu untuk intervensi peringkat Pusat.

Sementara itu, katanya penyelarasan operasi menyelamat di peringkat daerah yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah selaku Komander Operasi Bencana melaksanakan tugasan mengikut pecahan pasukan ke beberapa kawasan supaya operasi menyelamat lebih teratur dan tidak tertumpu hanya di beberapa kawasan.

Setakat ini, katanya hampir 10,000 orang pasukan penyelamat dan bantuan dari pelbagai agensi digerakkan, manakala NADMA menghantar empat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi banjir di Kelantan dan Terengganu sejak 25 Februari lalu.

Katanya, pasukan NADMA Emergency Support Team (NEST) juga dihantar ke lapangan bagi membantu PKOB negeri dan daerah. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -