Menicon dari Jepun labur RM650 juta di Kulim Hi-tech Park

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menicon Co Ltd, yang berpangkalan di Jepun, melalui anak syarikat milik penuhnya Menicon Malaysia, melabur RM650 juta (18 bilion yen) untuk mendirikan kilang pembuatan yang pertamanya di Malaysia di Kulim Hi-Tech Park, Kedah bagi menghasilkan kanta sentuh pakai buang harian.

Dalam satu kenyataan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini, mereka berkata pelaburan strategik itu akan menyaksikan penubuhan kemudahan pengeluaran baharu yang merangkumi tapak seluas 200,000 meter persegi.

- Advertisement -

“Kawasan lantai kilang seluas 45,000 meter persegi itu akan dibina sejajar dengan matlamat pembangunan mampan (SDG). Ciri-ciri mesra alam seperti panel solar akan dipasang untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui serta cucur atap untuk menghalang kenaikan suhu bilik.

“Kilang itu khususnya, dijangka memerlukan hampir 100 kakitangan sebaik sahaja pengeluaran yang dijadualkan bermula pada 2025, yang akan meletakkan Malaysia di hadapan sebagai hab global untuk pelaburan berkualiti di samping mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi,” ujarnya.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan Menicon untuk mendirikan kilang automatik di sini adalah bukti keupayaan Malaysia dalam memenuhi permintaan tinggi industri yang dikawal selia seperti peranti perubatan.

“Pelaburan ini memenuhi Aspirasi Pelaburan Nasional kita, khususnya dalam mewujudkan cabaran ekonomi yang lebih besar dan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia. 

“Di samping itu, komitmen Menicon terhadap amalan kemampanan dalam reka bentuk dan pembinaan kilang mereka bertepatan dengan matlamat ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) Malaysia untuk usaha pelaburan yang lebih hijau,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata, MIDA bekerjasama rapat dengan Menicon sepanjang pandemik bagi merealisasikan pelaburan mereka dengan jayanya.

“Kemudahan yang berterusan ini termasuk pusat sehenti bagi pengembara perniagaan, yang membolehkan pelabur datang ke Malaysia untuk usaha pelaburan mereka dalam usaha meminimumkan gangguan kepada ekonomi dan menggiatkan semula perdagangan dan pelaburan di negara kita.

“Kami optimis bahawa pelaburan Menicon akan menjadi satu lagi langkah besar ke hadapan untuk Malaysia dan pertumbuhan syarikat di sini akan memberi manfaat kepada industri peranti perubatan tempatan kita dan orang ramai,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -