Penerbangan awam berisiko tinggi melalui ruang udara Ukraine

- Advertisement -

SYDNEY: Syarikat penerbangan perlu menghentikan penerbangan melalui ruang angkasa Ukraine kerana risiko ditembak secara tidak sengaja atau serangan siber yang mensasarkan kawalan trafik berikutan konflik antara negara itu dan Rusia.

Safe Airspace yang menyediakan maklumat keselamatan dan zon konflik kepada syarikat penerbangan selepas kejadian Penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, memberitahu bahawa pihaknya telah menaikkan tahap risiko di Ukraine kepada Tahap 1, iaitu `jangan terbang.’

- Advertisement -

Mengikut laman sesawang Safe Airspace: “Tanpa mengira pergerakan sebenar tentera Rusia ke Ukraine, tahap ketegangan dan ketidakpastian di Ukraine sekarang adalah ekstrem. Ini sahaja sudah mencukupi untuk meningkatkan risiko kepada penerbangan awam.”

Rusia pula menutup sesetengah ruang udara di Wilayah Maklumat Penerbangan Rostov yang bersempadankan timur Ukraine bagi memastikan keselamatan penerbangan awam.

Semalam, puak pemisah di Ukraine meminta bantuan Rusia untuk menghadapi `tindakan agresif’ Ukraine yang telah mengumumkan darurat dan kerahan wajib tentera. Barat pula mengenakan sekatan terhadap Moscow dalam usaha menghentikan serangan besar-besaran Rusia.

Amerika Syarikat (AS), Itali, Kanada, Perancis dan Britain, menasihat syarikat penerbangan negara masing-masing mengelakkan sesetengah ruang udara timur Ukraine dan Crimea, tetapi setakat ini tiada larangan sepenuhnya melalui kawasan terbabit.

Laman sesawang Safeairspace.net turut mengemas kini dari semasa ke semasa panduan penerbangan melalui ruang udara kawasan bergolak itu.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS dalam panduan terakhir pada 9 Februari lalu, menyatakan konflik rentas sempadan antara Ukraine dan Rusia, boleh mengancam secara langsung atau tidak langsung terhadap penerbangan awam.

Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa, menghentikan penerbangan ke Ukraine, mulai Isnin lalu, selepas syarikat penerbangan Belanda, KLM, berbuat demikian.

Minggu lalu, dua syarikat penerbangan Ukraine, menghadapi masalah mendapatkan jaminan insurans terhadap beberapa laluan penerbangan, manakala beberapa syarikat penerbangan asing mengelakkan ruang udara Ukraine berikutan kehadiran tentera Rusia di sempadan negara itu.

Bagaimanapun, mengikut laman sesawang FlightRadar24, beberapa syarikat penerbangan asing masih melalui ruang udara Ukraine. – REUTERS

- Advertisement -